Ikuti Blog ini

PRK Tenang: Ceramah DAP Hebat, Ceramah MCA Lengang

BN cuba selamatkan undi Cina, PR pula sasar FELDA dan estet

Meskipun PRK Tenang menyaksikan pertarungan antara UMNO-Barisan Nasional dengan PAS-Pakatan Rakyat, namun kelihatan rakan partinya lebih bersungguh-sungguh sepanjang tempoh kempen.

Antaranya, MCA menurunkan tujuh orang Timbalan Menteri untuk mengetuai pasukan kempennya, malah Presidennya Chua Soi Lek dan anaknya, Chua Tee Yong, juga penyandang kerusi parlimen Labis, melawat ke semua tokong Cina dan pasar malam di situ.

Sementara itu, DAP pula mencurahkan sokongan sepenuhnya kepada PAS untuk menangkis serangan isu Negara Islam yang memanah Pakatan Rakyat. Selain strategi kreatifnya yang bertemakan "TUKAR" sempena Tahun Baru Cina, kenyataan demi kenyataan media dikeluarkan untuk menyanggah setiap tuduhan yang dilemparkan MCA, malah mencabar agar Chua Soi Lek tampil berdebat.

Ceramah anjuran DAP juga mendapat sambutan yang memberangsangkan di kawasan yang majoritinya pengundi Cina. Hampir setiap ceramah yang diadakan DAP pada waktu malam menarik kira-kira 500 orang - bukan sahaja penuh sesak, tetapi orang yang datang berdiri sepanjang malam sehingga ceramah tamat.

Jamuan malam MCA disambut dingin

Sebaliknya, jamuan malam anjuran MCA menerima sambutan yang dingin daripada penduduk tempatan. Kekosongan meja dan kerusi kelihatan di merata-rata sungguhpun Chua Soi Lek turun sendiri ke jamuan tersebut. Malah, Chua Soi Lek kelihatan kekok apabila tidak ramai yang menyahutnya ketika beliau melontar soalan untuk memanaskan suasana. Situasi ini berbeza dengan apa yang berlaku di ceramah anjuran DAP - meriah dengan sorakan dan tepukan.

Jika dilihat kepada statistik PRU ke-12 - di kawasan Bandar Labis Tengah yang 96% terdiri daripada pengundi Cina, PAS memperolehi 66.8% undi. Namun, untuk kerusi parlimen Labis pula, DAP memperolehi 73.8% undi. Dengan kata lain, DAP mampu melonjakkan sokongan pengundi Cina di Bandar Labis Tengah ke paras 73.8%, sebagaimana yang diraihnya dalam PRU ke-12.

MCA yang semakin terasa bahangnya membariskan lebih ramai pemimpin untuk ceramahnya, misalnya Naib Presiden Ng Yen Yen, Gan Ping Sieu; Ketua Pemuda MCA Wee Ka Siong, Timbalan Ketua Pemuda merangkap EXCO kerajaan negeri Perak Mah Hang Soon dan sebagainya. Bagaimanapun, usaha ini digagalkan cuaca yang menurunkan hujan pada Khamis lalu. Begitu juga dengan ceramah PR, yang terjejas bilangan kehadiran lantaran cuaca hujan, sungguhpun membariskan Nik Aziz, Lim Kit Siang, Speaker DUN Selangor Teng Chang Khim, bekas Menteri Besar Nizar Jamaluddin dan sebagainya.

Langkah MCA agak lambat

MCA yang mengasak dengan isu Negara Islam, akhirnya berdepan dengan tuntutan pertubuhan Cina, yang mahu agar Sekolah Menengah Swasta Cina (SMSC) di Segamat diwujudkan semula. MCA agak lambat dalam langkahnya untuk mengendalikan isu ini, sehingga Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berjaya mengambil kesempatan untuk mendesak MCA-BN.

Chua Soi Lek cuba melontar balik isu ini dengan mencabar agar kerajaan PR di Pulau Pinang dan Selangor mengambil mereka yang tamat pengajian di sekolah swasta Cina sebagai kakitangan awam. Malah, Timbalan Presiden MCA, Liow Tiong Lai mendakwa ini kali pertama dirinya tahu isu "mewujudkan semula sekolah menengah swasta" ini, yang pada hakikatnya janji BN pada 25 tahun lalu.

Sejauh manakah isu sekolah cina swasta ini mempengaruhi pola pengundian hanya diketahui pada malam 30 Januari. Apa yang pasti, PR memiliki kelebihan dalam penguasaan undi Cina. Dan ia menjadi cabaran kepada Chua Soi Lek, lebih-lebih lagi kawasan DUN Tenang berada di bawah kerusi parlimennya, yang diwarisi dari bekas Presiden Ling Liong Sik, sebelum dilepaskan kepada anaknya ekoran skandal seksnya.

UMNO kukuh di FELDA

Bagaimanapun, UMNO kini kelihatan menguasai tiga kubu tradisionalnya, iaitu FELDA Tenang, Cehmpal Barat dan Chemplak. Ketiga-tiga kawasan ini mempunyai 4,118 undi peneroka FELDA keturunan Melayu, iaitu kira-kira 28% daripada undi keseluruhan DUN Tenang, atau bersamaan 59% undi Melayu.

Pengamatan MerdekaReview mendapati harga getah dan kelapa sawit yang melonjak mungkin menjadi faktor positif untuk BN. Kawasan kediaman mereka agak selesa, bersih dan segar, dihiasi bendera UMNO mahupun BN. Jelas, peneroka FELDA agak takut untuk berdepan dengan media, dan enggan menjawab soalan yang diajukan wartawan.

Menurut pengurus kempen PAS, Syed Osman, mereka berdepan dengan kerumitan ketika cuba menyebarkan maklumat di kawasan FELDA. Penduduk di kawasan FELDA tidak berani untuk menghadiri aktiviti anjuran PAS, terutamanya aktiviti kecil-kecilan, kerana takut identitinya dikenalpasti.

Di kawasan ladang yang majoritinya pengundi India pula, telah digulakan BN dengan hamper, kemudahan infrastruktur sejak awal lagi. Malah, pemimpin BN yang turun ke situ menyelitkan amaran yang tersirat dalam gurauannya, bahawa pemilik ladang adalah pemimpin BN. PR kini cuba menembusi ladang estet dengan pemimpin India-nya dalam tempoh yang kurang daripada 48 jam, sebelum hari pengundian pada 30 Januari.

Sesungguhnya, PRK Tenang juga merupakan satu cabaran kepada PAS, yang menguji sama ada parti politik ini mampu bertahan di kawasan campuran. Malah, ia juga menguji sejauh manakah hubungan kerjasama antara DAP-PAS-PKR, yang hampir tiga tahun terjalin di bawah nama Pakatan Rakyat. -MR


*Leong Khong ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari artikel-artikelnya dalam bahasa Cina.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .