Ikuti Blog ini

Guan Eng ucap takziah pada Mohamad Sabu

TASEK GELUGOR, 17 Feb: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sanggup meluangkan masa walaupun sibuk dengan mesyuarat Exco pagi tadi semata-mata mahu mengucapkan takziah kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu kerana kematian ibu tercinta, Halijah Mat, 91.

Beliau yang bergegas setelah selesai mesyuarat berkenaan sampai pada pukul 1.15 tengahari iaitu ketika jenazah Allahyarhamuha sedang dikafankan untuk dibawa ke Masjid Padang Menora untuk disembahyangkan selepas solat Zohor.

Turut serta dalam suasana sedih itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa, Adun Jeneri Yahya Abdullah, Adun Kubang Rotan, Nasir Mustaffa, Adun Semangol, Ustaz Ramli Tusin, Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Rosidi Husain, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Maipp), Ustas Elias Zakaria.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman, Exco Kesihatan, Pembangunan Insan dan NGO Negeri Kedah, Dr Ismail Salleh dan Exco Belia Negeri Kedah, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib selain Adun Batu Maung, Malik Abul Kasim, di samping Adun Kupang, Johari Abdullah, Adun Bandar Baru, Ustaz Yaacob Husin.

Jenazah Allahyarhamuha disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Menora dengan bacaan talkin oleh iman masjid berkenaan, Haji Ibrahim manakala solah jenazah diimamkan oleh Ustaz Elias Zakaria.

Mohamad ketika ditemui mengucapkan ribuan terima kasih pada semua yang hadir untuk membantu menyelesaikan jenazah ibunya yang meninggal akibat sakit tua pukul 1.30 pagi tadi.

Tidak ketinggalan juga kepada pasukan Unit Amal Kepala Batas dan Tasek Gelugor yang turut serta membantu mengawal lalu lintas dari pagi sehingga selesai urusan pengebumian. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .