Ikuti Blog ini

Tidak mustahil berlaku kejutan di Merlimau

JASIN : PAS tidak akan menyerah kalah meskipun di kubu kuat Umno BN sebaliknya akan terus menggunakan peluang yang ada untuk mengajak rakyat membuat perubahan.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, PAS bertanding di Merlimau untuk menang dan yakin mampu menghadapi persaingan sengit dengan pihak lawan.

"Mahathir pernah kalah kepada calon PAS di kubu kuat BN jadi kita lawan dulu. Kita bagitahu kepada rakyat tawaran kita dan keburukan yang sedang dilakukan BN di negeri ini dan kita serah kepada rakyat untuk membuat pilihan. Kalau kalah, pilihan raya akan datang kita masuk lagi.

"PAS masuk pilihan raya untuk menang. Di mana sahaja tempat yang kita boleh bagi tentangan (kepada BN) kita akan bagi kerana PAS nak pastikan risalah perjuangan kami diterima rakyat dan perubahan dalam negara ini dapat dilakukan," katanya.

Nada yang sama turut disuarakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata, berdasarkan kesungguhan dan kerjasama ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat, tidak mustahil kubu itu dapat dipecahkan.

"Kita kena akui Merlimau ini kubu kuat Umno dan bukan perkara yang mudah untuk kita menghadapinya.

"Kita kena anggap ini bukan perkara yang mudah. Walaubagaimanapun dengan seluruh tenaga yang ada dan kita bersatu, sudah nampak tanda-tanda penerimaan rakyat itu dan bukan perkara yang mustahil kita boleh buat kejutan di Merlimau ini," katanya.

Ini juga ditambah dengan faktor calon yang merupakan anak tempatan dan diyakini memahami selok-belok dan masalah pengundi di Dun berkenaan.

"Yuhaizad calon terbaik yang kita pilih berdasarkan kajian setelah melalui proses tapisan daripada senarai nama yang diterima. Ada beberapa calon yang berpotensi tapi Yuhaizad lebih layak dan sesuai," katanya.

Mustafa juga mengingatkan Umno BN tidak berterusan menggunakan kemudahan jentera kerajaan termasuk SPR untuk kemenangan mereka.

"Kita ada masa beberapa hari untuk bekerja keras dan kita mengharapkan SPR memainkan peranan mereka dengan betul, soal ketelusan yang kita bincang selama ini.

"Kita ingatkan Umno jangan berterusan menggunakan segala kemudahan termasuk SPR untuk menang," katanya.

Sementara itu, Nasharudin berkata, Pakatan Rakyat khususnya PAS sudah bersedia dengan isu-isu tempatan dan nasional termasuk isu antarabangsa untuk digunakan sewaktu kempen.

"Kita akan dedahkan beberapa isu tempatan yang berkaitan negeri Melaka, berkaitan isu tempatan dan antarabangsa.

"Gabungan isu ini akan kita jadikan bahan kempen untuk mengajak rakyat bersama kita," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .