Ikuti Blog ini

Rasuah: Adun BN Lenggeng didapati salah, hukuman petang ini , mungkin PRK lagi ?


Mustafa
SEREMBAN, 4 Mac — Adun Barisan Nasional (BN) Lenggeng Mustafa Salim didapati bersalah menerima rasuah RM2,000 daripada seorang kontraktor sebagai sogokan mengeluarkan surat sokongan bagi aktiviti perlombongan pasir lebih dua tahun lalu.

Keputusan itu dijangka akan membuka laluan kepada kemungkinan pilihan raya kecil di kawasan tersebut.

Tarikh akhir yang membolehkan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan ialahj 28 April. Kekosongan selepas tarikh itu tidak memerlukan pilihan raya kecil.

Wakil rakyat penggal pertama berusia 51 tahun itu bagaimanapun bebas dua tuduhan lain menerima rasuah M. Manimaran untuk tujuan yang sama.

Hakim Mahkamah Sesyen Amran Jantan menangguhkan prosiding untuk menjatuhkan hukuman pada pukul 2.45 petang ini.

Pada 3 November lalu, Mahkamah Tinggi Seremban memerintahkan Mustafa membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya pada 2008 selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Mustafa sebelum itu telah dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas semua pertuduhan pada 14 April lepas tanpa diarah membela diri di akhir kes pendakwaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nasfy Yasin ketika itu berkata mahkamah membenarkan rayuan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas ketiga-tiga pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Mustafa didakwa meminta RM3,000 daripada Manimaran, 37, melalui Mustafa Pendek, 58, di Lot 1321, Mukim Pantai, Seremban, pada 11 pagi, 28 Ogos 2008, sebagai balasan mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan permit menjual pasir.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meminta RM2,000 daripada Manimaran untuk tujuan sama di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Sembilan di Jalan Datuk Klana Ma''amor, Seremban, pada 9.05 malam, 30 Ogos 2008.

Dan, bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menerima suapan RM2,000 daripada Manimaran di Restoran Jabrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin, pukul 5 petang, 31 Ogos 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 iaitu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM negeri, Fieza Fazlin Fandi manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Taqiuddin Yahya dan Fiesal Mustapha. -MI
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .