Ikuti Blog ini

Kes Sultan Johor dan Uncleseekers: Rakyat ingin melihat keadilan ditegakkan


Syed Abdullah Hussien Al-Attas atau 'Uncle Seekers' 

Tokoh Islam terkenal di Malaysia, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mendakwa raja tidak kebal daripada kritikan dan mesti bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.

Kenyataan Dr Mohd Asri itu mencetuskan kemarahan dalam laman sosial Twitter selepas ia dikaitkan dengan kritikan terhadap sebuah keluarga diraja di negara itu baru-baru ini, lapor laman berita The Malaysian Insider, semalam.

Bekas mufti Perlis itu - kini zamil pelawat di Universiti Oxford - sebaliknya memuji kerajaan Britain kerana berani menyemak perbelanjaan keluarga dirajanya, selain memastikan mereka bertanggungjawab terhadap pembayar cukai bagi mencegah penyelewengan.

Dalam tulisannya bertajuk Mereka Paling Mencegah Kezaliman Raja, Dr Mohd Asri berkata walaupun keluarga diraja Britain memberikan sumbangan besar dalam sejarah negara itu, mereka tidak dibiarkan berbuat sesuka hati.

Beliau menyentuh topik itu selepas membaca laporan akhbar Daily Mirror pada 3 Julai lalu mengenai perbelanjaan perjalanan keluarga diraja Britain yang mencecah £6.1 juta ($12 juta) tahun lalu.

Dr Mohd Asri membandingkan pengalaman Britain itu dengan dunia Islam.

Baginya, Britain memberikan kebebasan kepada warganya mengkritik kepemimpinannya, manakala dunia Islam pula menjatuhkan hukuman ke atas rakyat yang mengkritik pemimpin mereka.

"Lihatlah dunia Islam di mana golongan bangsawan boleh mengaup segala kekayaan minyak, balak, gas, tanah dan segala harta awam rakyat tanpa sesiapa boleh mempertikaikannya. Malahan siapa yang berani mempertikaikannya akan menerima hukuman," tulis beliau.

Dr Mohd Asri turut mengkritik golongan agama yang mempertahankan kezaliman penguasa, seperti ulama yang berfatwa mempertahankan rejim Kolonel Muammar Gaddafi, Encik Hosni Mubarak dan Presiden Bashar Al-Assad.

Walaupun tidak secara langsung menyentuh ehwal Malaysia dalam tulisannya itu, Dr Mohd Asri tetap mengundang kontroversi menyusuli kenyataan beliau dalam laman sosial Twitternya, Isnin lalu. "Melayu salah baca sejarahnya; Jebat sebenarnya tidak derhaka tetapi Sultan Melaka yang celaka.

Menzalimi rakyat tetapi mendakwa berdaulat," tulis beliau melalui akaun @realDrMAZA. Kenyataannya mengenai Hang Jebat itu - yang sering dianggap ramai sebagai penderhaka kerana berani melawan raja yang menindas sahabat baiknya, Hang Tuah - mengundang reaksi spontan daripada para penyokong Umno.

Pemimpin Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail Aziz, yang mengetuai Unit Media Baru (UMB) parti itu melalui akuan Twitternya, @tunfaisal, menjawab: "Blogger PAS mengamuk akibat dengar ceramah yang halalkan pemimpin diguling dengan mata pedang?"

Dr Mohd Asri menjawab balik: "Bala bagi Umno jika orang seperti @tunfaisal ini menduduki kepimpinan. Rakyat tidak membenci Umno tetapi membenci perangai sesetengah orang/pemimpin Umno. Merekalah yg menyuburkan kebencian ramai pada parti tersebut."

 Selain itu, beliau turut menyentuh isu Syed Abdullah Hussien Al-Attas atau 'Uncle Seekers', yang kini disiasat polis berkaitan dakwaan memalukan Sultan Johor, sambil berkata bahawa Uncle Seekers perlu dibawa ke mahkamah "dan dibicara dengan adil" kerana "rakyat ingin melihat keadilan ditegakkan". -sumber
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .