Ikuti Blog ini

Politik Malaysia : Saya suka SB, saya benci SB, SB itu kawan saya, SB itu mengintip kita

Kalau tanya kepada orang politik, bermacam-macam ragam akan diceritakan oleh mereka tentang SB (Special Branch) atau Cawangan Khas.

Saya nak bawak satu cerita di awal tahun 1980-an.  Ada seorang berpakaian berjubah, pelat Kelantan, pernah menginap di rumah saya dan bercerita dengan saya semua cerita-cerita Jihad Bersenjata.  Dia bercakap dengan nada yang jelas mengatakan bahawa dia tidak yakin lagi dengan perjuangan secara demokrasi.  Dia sudah memilih jalan rebolusi.

Bagi saya orang yang bercakap sebegini adalah orang yang sudah terkeluar dari landasan perjuangan, orang ini mungkin seorang penghasut yang sengaja datang menguji saya dan lebih senang lagi orang ini boleh disifatkan sebagai seorang SB.

Kerja SB memang begitu, dia menjadi penghasut supaya kita terikut-ikut dengan kata-katanya, dan apabila kita terperangkap maka kita akan ditahan dibawah ISA dan dia akan menghasut pemimpin-pemimpin yang lain pula.

Pada waktu itu, saya adalah aktivis didalam PAS, memegang jawatan yang tidak begitu tinggi dan tidak begitu rendah, tetapi kerja saya adalah berkempen didalam rancangan-rancangan Felda dan hasil usaha itu begitu banyak cawangan-cawangan PAS dapat ditubuhkan di rancangan-rancangan Felda.  "Persona non grata" sudah dihalakan kepada saya di kebanyakan rancangan Felda tetapi saya masih dapat memasuki rancangan-rancangan Felda, tak dapat memasuki secara terbuka, saya masuk secara tertutup sehingga di banyak rancangan Felda saya menyamar sebagai peneroka dengan menaiki motosikal dan berpakaian sebagai petani, dan dengan cara itu dapat juga saya memasuki rancangan Felda untuk memberikan penerangan kepada peneroka-peneroka Felda.

Saya sudah dilatih melalui gerakan kiri, PRM, untuk mengenali musuh dan kawan, untuk mengenali musuh sebenar atau musuh sementara, mengenali musuh yang sebenarnya musuh dan mengenali musuh yang sebenarnya kawan.

Maka apabila saya bertemu dengan seseorang yang mengaku ahli PAS tetapi bercakap perjuangan secara bersenjata, lekas-lekas saya menentangnya dan mengatakan bahawa dia bukan ahli perjuangan PAS, mulalah saya bertanya kepada dia nombor keahlian PASnya, nama Yang Di Pertua Kawasannya, Setiausaha Kawasannya, dan apabila dia tidak tahu siapa YDP dan Setiausaha kawasannya, maka sangat mudah saya memerangkap dia.

Dia bawa parang berbagai jenis penuh di dalam keretanya, dia ingin tinggalkan parang-parang itu di rumah saya untuk saya edar-edarkan.  Dan saya memberi warning kepadanya bahawa jika dia tidak memasukkan semula parang-parang itu kedalam keretanya dan meninggalkan rumah saya, saya akan hubungii Polis Temerloh.  Mendengar itu dia terus dengan segeranya memasukkan parang-parang kedalam keretanya dan berlalu dari rumahnya.

Seorang lagi yang saya jumpa adalah seorang peminta sedekah.  Setiap kali ada ceramah di Sungai Gau, karekter ini mesti ada disana, meminta sedekah.  Saya memerhatikan gelagat dia, pakaiannya semacam peminta sedekah, tetapi kalau diperhatikan berterusan (tanpa disedarinya) dia ada sebuah kereta yang agak baru, dan dia akan keluar dari tempat ceramah sebaik sahaja the main speaker siap berceramah.

Nak terkena secara kebetulan, terjumpa saya di kedai makan di Temerloh, bukan main smart lagi dia tu.  Saya beri salam kepada dia, dia menjawab salam, dan saya bertanya di mana dia menginap malam tadi, serba salah dia nak menjawab.

Saya intai betul-betul dia ni.  Rupa-rupanya setelah makan, dia menaiki keretanya, dan kemanakah dia tuju?  Ke Balai Polis Temerloh! Ha...ha!

Teringatlah saya kepada peristiwa Student Demo dimana ratusan pelajar akhir ditangkap dan sebahagiannya di ISAkan, pada waktu itu saya adalah Pegawai Undang-Undang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Pada malam itu KL diisytiharkan curfew, dan kami pegawai-pegawai DBKL dikehendaki bertugas di Jalan Bandar 4 jam seorang, dan saya bertugas dari jam 2.00 pagi hingga jam 6.00 pagi.

Di sekitar 4.30 pagi - 5.00 pagi, saya terdengar begitu riuh dan sibuk sekali di luar Balai Jalan Bandar itu.  Jenguk keluar, saya terlihat begitu ramai, beratus orang yang berpelbagai pakaian berada di luar.  Ada yang pakai suit, ada yang pakai smart baju putih dan tali leher dan seluar hitam.  Ada yang pakai semacam kuli di kebun sayur.  Ada yang berpakaian semacam peminta sedekah.  Ada yang berpakain biasa sesuai untuk orang pergi ke pejabat.  Ada yang bertopi buruk, baju buruk dan seluar buruk.  Ahai, macam-macam.

Terdengar oleh saya suatu suara yang bercakap dengan gahnya berkata: "Aku baling batu kat cermin masjid negara tu, berderai cermin tu pecah!!!"

Ah, nak tau, itulah Special Branch.  Kamu kenal mereka?  Sudah tentu tidak!  Yang kamu kenal adalah beberapa orang SB yang berpakain biasa, yang sentiasa datang secara terbuka ditempat kamu berceramah, dia pun menegur kita, dan kita juga bercakap dengan mereka.  Ada diantaranya mengambil gambar kita semasa kita berceramah dan ada diantara kita yang pergi minum kopi bersama mereka.  Dan ada diantara kita yang berkata: "SB disini OK, mereka tu baik-baik belaka, kalau mereka tu bukan bertugas, dia tu memang menyokong perjuangan kitalah...!!" Amboi, bukan main konfiden kita, ya?

Saya pernah bertugas di Pejabat seorang pembesar Negara, diantara banyak tugas saya, termasuklah membaca lapuran mingguan daripada Jabatan-Jabatan tertentu seperti Penerangan, SB dan sebagainya.  Saya baca dan saya tandakan dengan merah, kuning dan hijau.  Yang saya tandakan hijau tu, tak perlu dibaca oleh pembesar itu, yang kuning itu terserah samada nak dia baca atau sebaliknya, yang bertanda merah itu adalah wajib dibacanya.

Satu hari saya menjadi terpegun apabila membacakan satu laporan dari seseorang yang menamakan dirinya K...(diikuti dengan nombor), dia adalah Pengerusi sebuah Parti Politik Pembangkang, dan K itu adalah kod baginya yang bertugas sebagai perisik politik melapurkan kegiatan parti pembangkang itu.

Kepada kawan-kawan saya, tak usahlah suka, atau benci, atau menganggap musuh atau menganggap kawan dengan SB-SB yang memang kerja terang lagi bersuluh itu.  Mereka hanyalah bayangan semata-mata, nak berkawan boleh, tak nak berkawan boleh, nak minum teh bersama pun boleh, tak nak minum teh bersama pun boleh.

SB yang sebenar adalah mereka yang kamu tidak kenal, dan diantara mereka itu berada di celah-celah kamu, dan kadang-kadang menjadi pemimpin-pemimpin didalam parti kamu.  Mereka itu berada di Sekolah, di Universiti, di Kilang, di lorong-lorong jalan, didalam persatuan-persatuan, didalam parti-parti politik.  Ada kamu kenal?  Kamu tidak kenal kepada mereka!!!!
  
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .