Ikuti Blog ini

Syukur, tiada pemimpin disabitkan rasuah di Kedah


ALOR SETAR – “Bersyukur kepada Allah, bukan sahaja berjaya bertahan memerintah selama tiga tahun dengan pelbagai kesusahan dan kepayahan, yang terpenting ialah kita berjaya memimpin dengan bukti sebuah kerajaan yang bersih tidak ada seorang pun bersama kita yang boleh disabitkan dengan kesalahan rasuah.”

Ahli Parlimen Marang YB Dato’ Haji Hadi Awang berkata demikian pada Forum Kemasyarakatan sempena sambutan Tiga Tahun Kedah Sejehtera di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan yang bersih telah ditunjukkan di negeri Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor tidak boleh ditumbangkan dengan kesalahan rasuah.

“Pemerintahan berdasar ajaran Islam, bersih dari amalan rasuah dan kita menyatakan bahawa tidak ada pemisah agama dan politik kerana Islam mengajar politik sebahagian agama yang ada perhitungan dosa dan pahala.

“Bukan sahaja membabitkan ibadah dalam perkara halal dan haram yang banyak difahami oleh kebanyakan umat Islam tetapi perhitungan dosa dan pahala termasuk dalam cara hidup sebahagian amalan politik yang menjadi sebahagian ajaran Islam,” katanya.

Beliau mengingatkan, manusia tidak boleh menentukan ahli syurga dan neraka kerana yang menentukan hal itu hanya Allah.

“Ini termasuklah Nabi-nabi dan Rasul-rasul tidak boleh menentukan hukuman terhadap seseorang itu pada hari kiamat cuma boleh diajar ditunjuk oleh Allah dan menjadi kewajipan manusia menyampaikan tunjuk ajar itu dan mereka yang selamat hanya yang mentaati Allah dan Rasul,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, peranan Nabi Muhammad bukan sahaja mengajar sembahyang, puasa, zakat dan haji malah baginda menunjukkan contoh mentadbir negara dengan betul dan adil kerana ada perhitungan dosa dan pahala.

“Dan apa yang menjadi pengajaran besar dan menarik apabila Rasulullah mendirikan kerajaan Islam di Madinah, rakyat Madinah ketika itu terdiri daripada Islam dan bukan Islam, kalangan Yahudi Bani Qainuqak, Bani Nazir dan Bani Khuraizah. Ada yang beragama Kristian Najran diikuti orang-orang Musyrikin yang belum lagi beragama. Bahkan ahli sejarah menyatakn bahawa di zaman awal negeri Madinah itu orang-orang Islam ialah golongan minoriti bukan Islam lebih besar dan ramai jumlahnya,

“Bahkan ini yang berlaku apabila Islam masuk ke Mesir, Iran, Sham dan negeri-negeri utara Afrika, India dan lain-lain. Spain telah Islam lebih awal dan golongan yang sedikit di negeri itu telah dizalimi oleh pemimpin mereka. Oleh itu mereka telah mengalu-ngalukan pemerintahan Islam yang adil lagi baik dan lebih rela berada di bawah pemerintahan orang Islam daripada pemimpin bangsa mereka sendiri yang zalim,” katanya.

Beliau menegaskan pemerintahan empat negeri ini memperkenalkan ajaran Islam dan menjadikan politik sebagai sebahagian daripada ajarannya dalam masa yang sama mengajar orang Islam mengamalkan politik Islam.

Dalam kehidupan Melayu Islam ada siasi atau fekah politik yang kebanyakan orang Islam hanya mengenali fekah sembahyang, puasa, zakat dan haji termasuklah muamalat yang berkait dengan jual beli.

“Ramai yang belum membaca fekah politik yang ada dalam ajaran Islam yang memperkenal amalan tahalufsiasi. Walaupun dengan tahalufsiasi kita ada dasar dan prinsip kita dalam perkara halal dan haram, namun kita tidak boleh memaksa orang bukan Islam dalam perkara diharamkan oleh ugama kita dan ugama dia kita tidak boleh paksa mereka. Sebagaimana kita tak boleh paksa mereka menganut agama kita,” katanya di hadapan ribuan penonton di Stadium Darulaman.

Beliau merasakan umat Islam sendiri tidak faham dan telah meninggalkan ajaran ini dalam politik sebagai tali yang mengikat ajaran Islam telah dirungkai dan dirombak.

“Apabila dirombak atau dirungkai ajaran berkait hukum dan pemerintahan orang-orang Islam akan berselerak dan simpulan ajaran Islam ialah sembahyang. Hari ini ajaran berkait dengan pemerintah politik Islam diabaikan dan masyarakat Islam jadi hanyut.

“Penjajah sudah lama pergi tapi orang Islam hilang jati diri dan kekuatan dalam amalan politik yang diamalkan pemimpin Islam dalam negara Islam termasuklah di Malaysia ini yang masih mengamalkan politik zaman penjajah, maka oleh itu kita mempunyai tanggungjawab besar mengembalikan kefahaman orang Islam kepada politik Islam yang sebenar,” katanya.

Rakyat kini faham projek-projek dan pembangunan yang dilaksanakan namun ada rakyat yang tidak faham ia adalah adat kepada sesiapa yang memerintah tidak kiralah dari parti komunis sekalipun. Malah Yahudi Israel membangun kemudahan untuk rakyatnya tetapi yang perlu difahami ialah menunaikan amanah rakyat ialah menguruskan harta rakyat dengan betul.

~wartakedah~
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .