KUCHING.  SARAWAK: ‘Gempa bumi dan Puting beliung’ dikatakan terus melanda  Sarawak yang menyaksikan program-program ceramah anjuran Pakatan Rakyat  terus mendapat sambutan hebat dan luar biasa.
Malah,  jumlah yang hadir dikatakan melebihi daripada jangkaan pemimpin  pembangkang sendiri, sehingga penasihat DAP, Lim Kit Siang sebelum ini  menyifatkan ‘puting beliung’ sedang melanda negeri itu.
Pengarah  Strategi KEADILAN pula menyifatkan ia  sebagai gempa bumi- sebelum  meletus gelombang ombak besar ‘tsunami’ 16 April ini iaitu hari  penentuan rakyat Sarawak memilih kerajaan baru.
“Sambutan  yang kita terima sangat baik dalam tempoh bermula kempen sehingga hari  ini. Kalau di kawasan bandar, jumlah kehadiran ceramah-ceramah Pakatan  Rakyat mencecah 10 ribu hingga 11 ribu orang. Di kawasan bandar  gelombang itu sangat jelas malah kutipan untuk pakatan sahaja mencecah  berpuluh ribu ringgit,” katanya.
Secara  berseloroh, Rafizi berkata, BN tidak boleh memberikan alasan bahawa  jumlah itu disebabkan kehadiran ramai pegawai polis dari cawangan khas,  kerana mereka yang hadir turut menderma kepada Pakatan.
Malah  katanya, kempen Pakatan di kawasan pedalaman turut mendapat sambutan   luar biasa dan tidak pernah berlaku dalam sejarah politik di Sarawak  kali ini.
Ia  ternyata berbeza pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2006 dan sebelumnya-  apabila pembangkang dikatakan langsung tidak mempunyai tempat untuk  berkempen di kawasan pendalaman.
‘Kini  apabila pemimpin-pemimpin utama KEADILAN seperti Datuk Seri Anwar  Ibrahim, Azmin Ali dan Saifuddin Nasution datang ke rumah panjang, tuai  rumah atau pemimpin utama rumah panjang membuat upacara istimewa  menyambut kehadiran mereka,” ujarnya.
Kata  Rafizi, keadaan itu kini benar-benar menggusarkan Najib sehingga  terpaksa berkampung dan membawa satu ‘batalion kabinet’ ke negeri itu  bagi mempertahankan Sarawak dari jatuh ke Pakatan Rakyat.
Najib  kini dikatakan membatalkan semua programnya di semenanjung untuk  memberi tumpuan sepenuhnya kepada pilihan raya negeri itu, yang juga  dilihat tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini.
“Apabila Najib turun berkampung membawa 1 barisan menteri kabinet di sini, ia membawa petanda baik kepada Pakatan,” tambah beliau.
Katanya  lagi, keadaan BN Sarawak yang kini sudah berpecah belah dan  bertelingkah sesama sendiri, memberi satu kelebihan kepada Pakatan  Rakyat.
Malah  Taib Mahmud juga dikatakan sudah lagi tidak sebulu dengan tindak tanduk  Najib, apabila bertindak memboikot beberapa program yang dihadiri  Presiden Umno itu.
Ia  berikutan desakan Najib supaya Taib berundur sebagai Ketua Menteri  Sarawak, selepas pilihan raya tersebut, dan campurtangan Najib yang  berlebihan dalam pilihan raya itu.
Namun,  Rafizi mengingatkan jentera Pakatan supaya bersiap sedia menghadapi  sebarang strategi dan taktik Umno khususnya menjelang saat-saat terakhir  pengundian.
“Dua  hingga tiga hari sebelum hari mengundi mereka akan tabur duit, mereka  akan sabotaj untuk mendapat undi. Ini kerana mood rakyat sedang bersama  kita. Kita bimbang BN akan menggunakan sepenuhnya 3M- jentera kerajaan, wang ringgit dan media untuk sabotaj Pakatan Rakyat.
“Mereka akan gunakan fitnah dan sebab itu jentera kita perlu disusun sebaik mungkin” ujar beliau.
Sambutan  luar biasa terhadap program Pakatan berlaku di Kuching semalam di mana  jumlah hadirin dijangka melebihi 10,000 orang. Jumlah terbesar adalah di  Batu Kawah yang dianggarkan tidak kurang daripada 12,000 orang.
Tiga  pemimpin utama Pakatan rakyat, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar  Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan  penasihat Dap, Lim Kit Siang, menyemarak sambutan rakyat Sarawak,  sehingga jalan menuju ke tempat ceramah sesak teruk sejauh 6 kilometer.
Isu video seks palsu  langsung tidak memberi kesan kepada pengundi, malah ketika Anwar  menyebut mengenainya, kebanyakan yang hadir tertawa  menunjukkan mereka  tidak mempercayai tuduhan jahat berkenaan.
Dalam  beberapa ceramah sebelum ini seperti di Miri, Senadin dan Bintulu,  jumlah kehadiran dijangka melebihi ribuan orang, satu angka yang cukup  luar biasa bagi situasi rakyat di Sarawak yang selama ini dianggap  konservatif  BN.
Meskipun  sesetengah pihak mendakwa , jumlah kehadiran yang begitu ramai belum  tentu menjamin kemenangan, namun ia ternyata membangkitkan gelombang dan  sentimen rakyat Sarawak yang semakin ghairah untuk menggulingkan Taib Mahmud menjelang 16 April ini.

 

 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
