1.  Berkampung di DUN Sadong Jaya dan DUN Tanjung Datu serta beberapa   tinjauan dibuat sekitar DUN Muara Tuang bermula sehari sebelum tarikh   penamaan calon sehingga kelmarin [9 hb April] memberi pengalaman baru dan sangat bernilai dalam mencongak masa depan PAS khasnya pemuda PAS di Sarawak.   Insyaallah 14 hb - 16 hb April ini, saya dan rakan - rakan exco DPP   Malaysia akan ke DUN Beting Maro sebagai DUN yang paling berpotensi   untuk dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya umum Sarawak bagi edisi ke 10   ini.
2. Masih saya ingat sekitar  lebih 10 tahun yang  lalu, bersama Yb. Datuk Wan Rahim dan rakan - rakan  yang lain memulakan  gerakan dakwah dan membawa risalah perjuangan  Islam dengan wadah Parti  Islam Se Malaysia [PAS] ke Beting Maro,  kini benih yang telah  ditanam telah mula berbunga dan dijangka tidak  lama lagi akan membuahkan  hasilnya Insyaallah. Begitu juga beberapa  kawasan lain seperti Sadong Jaya dan Sebuyau. Jika sesuai dengan iklimnya, saya percaya benih yang ditanam kian subur dan bakal membuahkan hasil pada suatu masa kelak. Handsome Boy adalah antara bunga yang sedang mekar di Beting Maro.
3.  Biarpun bergerak agak  perlahan berbanding perubahan politik yang  digerakkan oleh rakan -  rakan Pakatan Rakyat yang lain di Sarawak dewasa  kini, saya positif  malah optimis bahawa PAS jua akan diterima dengan  baik pada suatu masa  kelak oleh rakyat di negeri Sarawak. Wajar diinsafi bahawa perjuangan PAS tidak sekadar menatang perubahan politik dan mengapung isu semasa sebaliknya PAS hadhir dengan cita - cita perjuangan Islam untuk :
- membetulkan aqidah,
- memurnikan akhlak dan
- menjernihkan pemikiran ummat manusia .
4. Kekuatan  PAS terletak  kepada sejauh mana anggota dan penyokongnya memahami dasar   perjuangannya iaitu Islam. Tanpa memahami Islam, agak sukar untuk   mereka menyertai dan mendokong perjuangan PAS. Keadaan ini   hanya memungkinkan PAS meraih simpati dari mereka yang mengikuti jatuh   bangun dan suka duka perjuangan PAS lalu dinyatakan kebersamaan mereka   dengan penuh simpati sementara mereka juga turut menentang musuh yang   sama.
5. Justeru itu, agar PAS tidak  hanya disertai oleh  simpatisan maka pemimpin dan anggota PAS selayaknya  bekerja keras untuk  menyampaikan risalah Islam dan memahamkan  masyarakat kenapa mereka wajar  menerima perjuangan Islam. Menyedari  kemajmukan masyarakat di  Sarawak yang tentunya terdiri dari pelbagai  kaum, bangsa dan agama,  pemimpin dan anggota PAS sekali lagi mesti  hadhir dengan :
- hikmah yang tinggi,
- pendekatan yang unik dan
- kegigihan yang maksimum.
6. Bermula dengan kebajikan, menyantuni kemajmukan mereka serta memperjuangkan hak mereka seperti   hak pemilikan tanah yang sememangnya menjadi sebahagian dari agenda   Islam, mungkin menjadi pintu masuk utama ke laman hati nurani mereka   agar mereka sedia menerima perjuangan PAS. Sementara penyertaan PAS di   beberapa DUN dalam pilihanraya umum peringkat negeri Sarawak, [sekalipun berdepan dengan kekalahan teruk]   lebih memperkenalkan PAS kepada masyarakat tempatan mengenai simbol,   lambang, bendera, pemimpin, pejuang, aktivis, budaya kerja dan segalanya   berkait dengan PAS.
7. Sepuluh atau lima belas tahun yang lalu, mereka sinis dengan lambang PAS. Ada   yang kata PAS adalah parti ping pong dengan menganggap lambang bulan   purnama itu adalah bola ping pong. Malah ada yang mengatakan PAS adalah   parti Jepang Hijau sehingga mereka benci untuk menjulangnya.   Tidak kurang juga pemimpin kita dikejar dengan parang, diherdik dan   dimaki hamun. Jika lambang PAS pun mereka keliru, bagaimana mereka mahu   memahami prinsip dan dasar perjuangan PAS. Begitulah realiti sebuah   pengalaman yang dilalui oleh PAS di Sarawak. Namun keadaan kini semakin   baik dan memberangsangkan.
8. Saya tidak jangka secepat   itu masyarakat Sarawak menerima PAS memandangkan sejarah panjang dan   getir yang dilalui oleh PAS di semenanjung dan juga Gerakan Islam di   seluruh dunia sememangnya menjadi bukti bahawa tabiat perjuangan Islam ini terhenti sekurang - kurang di atas 5 nokhtah :
- jauh destinasi
- sukar pergerakkan
- diancam penjara
- dibunuh syahid
- dibuang daerah
9.   Nokhtah - nokhtah inilah  yang terpaksa ditempuh oleh pejuang - pejuang  Islam sebagai tribulasi  disepanjang jalan sebelum mereka benar - benar  teruji dan layak  menerima anugerah kemenangan. Tiada short cut untuk menggapai kemenangan sebagaimana tiada jalan mudah untuk meraihkan kejayaan. Kesabaran yang mantap, keyakinan yang tinggi dan munajat yang berterusan akan mendorong nusrah [pertolongan] dari Allah Azza wa Jalla.
10. Sarawak kini dipersimpangan. Ke kanan adalah jalan yang lurus dan benar.   Menuju perubahan yang total melibatkan dasar dan sistem. Bukan sahaja   berkait dasar dan sistem pentadbiran atau pemerintahan, tetapi jauh   lebih penting ialah dasar dan sistem kehidupan sebagai hamba Allah swt   Tuhan yang Maha Mencipta segala makhlukNya. Sementara ke kiri adalah jalan buntu dan keliru.   Menjerumuskan rakyat ke lembah yang serba mundur. Bukan sahaja mundur   dari sudut taraf hidup dan sosio budaya tetapi juga mundur perkembangan   spiritual dan minda. Situasi ini dinilai setelah lebih 40 tahun rakyat   memberi mandat kepada BN di Sarawak. Kini Masa Untuk Berubah.
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

 

 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
