
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi mengasihani, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw.
Umum mengetahui bahawa, berkemungkinan PRU 13 akan berlangsung tidak lama lagi dan bakal menyaksikan pertarungan paling sengit dalam sejarah Malaysia baru. PRN Sarawak bakal menjadi indikator cepat atau lambat PRU 13, sudah menjadi buah mulut dan dibincangkan didada media hinggalah ke warung kopi.

Dewan Pemuda PAS Puchong menyeru dengan semangat ukhuwah agar setiap ahli dan perwakilan menjalankan amanah yang penting ini dalam memastikan kepimpinan ulamak sentiasa teguh dan menjadi tulang belakang perjuangan dimana kita sebagai jundullah tidak kira berlatarbelakang apa, perlu seiring memperkuatkan kepimpinan ulamak.
Perkembangan terkini kita lihat bagaimana Presiden PAS diasak dari pelbagai sudut termasuklah kenyataan seorang Profesor yang keliru dengan mengatakan Presiden liabiliti kepada PAS serta meletakkan kelemahan Presiden punca Terengganu jatuh pada PRU yang lepas.
Apa yang Dewan Pemuda PAS Puchong ingin sentuh ialah, bagaimanakah sikap ahli kita dalam menterjemahkan pandangan ini adakah kita akan menari bersama dengan rentak terancang ini.
Tidak dinafikan kebanjiran ahli yang mempunyai kepelbagaian kepakaran, pengalaman dan pendidikan telah membentuk satu evolusi permikiran dan tindakan dalam PAS mutkhir ini.

Menyalahkan kepimpinan adalah satu tindakan yang kini kian subur berlaku dikalangan pendokong jamaah yang kita cintai. Tidak kira diperingkat mana samada di cawangan, kawasan, negeri dan pusat sudah ada kempen yang bergerak dan semakin sukar dikawal. Menjadi satu kesilapan besar meletakkan segala-segalanya ke atas bahu pimpinan kerana ianya berlawanan dengan konsep amal jamaie dan qiadah itu sendiri dan bakal menjadikan kita tenggelam dalam kesesatan apabila thiqah tiada kita letakkan pada pimpinan dalam menentukan hala tuju gerakan.
Bersangka baiklah dengan pimpinan,beban yang ditanggung oleh para pimpinan ulamak kita bukanlah beban yang mampu kita tanggung sebagai ahli.Cerminkan diri kita diperingkat cawangan adakah kita berjaya dalam menggerakkan cawangan dengan landasan gerakan Islam yang syumul, bagaimana persediaan kita menyediakan lapisan pimpinan setelah kita tua, bagaimana anak-anak kita adakah mereka akan menyambung tugasan kita, bagaimana dengan muslimat kita dan bagaimana dengan komponen terpenting iaitu manhaj tarbiyah. Kita perlu menyediakan benih yang baik di cawangan sebelum ianya tumbuh subur untuk menggalas tugasan dan amanah keperingkat yang lebih tinggi lagi samada kawasan,negeri dan pusat.
Mengikut kajian kita, cawangan-cawangan yang tidak mengambil berat dengan saranan di atas pasti sahaja akan berhadapan dengan masalah kelopongan pelapis dan fikrah. Janganlah cawangan kita bakal menjadi seperti sesetengah surau dipedalaman yang didokongi hanya golongan veteran dan orang mudanya entah kemana kerana ianya tidak akan menguntungkna jamaah.
Kita selalu ucapkan ulamak pewaris nabi, sudah tentu kalimat ini punyai kelebihan, keberkatan dan kita sepatutnya lebih percaya dan bangga kerana ramainya ulamak yang mendokong PAS ini dan menjadi satu trademark yang baik.
Kita sepatut sedar bahawa tanggung jawab kita yang berada di saff bawah ini perlu menguatkan antara satu sama lain bukan bercakaran, berselisih pendapat dan tidak memberi kerjasama dalam membentuk satu kumpulan saff yang kuat. Setiap keputusan yang dibuat adalah secara syura dan bukanlah semata-mata diputuskan oleh Presiden, Pesuruh Jaya, YDP atau Ketua Cawangan. Berjaya, hebat, lemah gagal sesebuah organisasi adalah menjadi tanggung jawab kita semua. Oleh itu mengapa tundingan jari sering kita lakukan melainkan tundingan itulah yang bakal menyeronakkan syaitan dan pendokong kumpulan penghalang gerakan Islam.

Adab ikhtilaf perlu difahami agar ianya menjadi rahmat dan bukannya menjadi sebab keruntuhan jamaah. Dewan pemuda PAS Puchong ingin mengingatkan tentang kisah bagaimana Saidina Abu Bakar bertegas mahu memerangi kumpulan yang enggan menunaikan zakat selepas kewafatan nabi saw. Umar pada ketika itu berpendapat berbeza dengan Abu Bakar termasuk ramai sahabat besar nabi saw.
Tetapi dengan penuh adab akhirnya Umar bersetuju dengan Abu Bakar walaupun Umar pernah mendengar nabi saw bersabda “Sesungguhnya Allah menjadikan kebenaran itu pada lidah dan hati Umar”
Pada ketika itu jugalah timbangan kethiqahan dan ketaatan difikirkan oleh Umar, beliau tidak terpedaya dengan dirinya sendiri sambil mengucapkan “Demi Allah aku melihat Allah Tuhan telah membuka pintu hati Abu Bakar untuk memerangi mereka”
Pokoknya bagaimana kita hari ini, adakah kita seperti Umar yang mempunyai kelebihan seperti disabdakan oleh nabi saw? Mengapa kita pada hari ini semberono sahaja mencurigai setiap keputusan yang telah disyurakan diperingkat pimpinan. Mengapa setiap penjelasan tidak boleh diterima dengan hati yang terbuka. Jika perkara ini ada dalam sifat sesebuah organisasi,terbukti bahawa musuh telah berjaya memperdaya kita dan terbukti syaitan bersama dengan kita.

Pemilihan pimpinan sudah menjadi perkara yang lumrah dalam setiap parti begitu juga dengan PAS yang kita cintai ini. Pemimpin datang dan pergi serta perlu disediakan pelapis yang yang baik dan telah melalui marhalah-marhalah tarbiyah serta faham dengan tuntutan bahawa PAS ini adalah satu gerakan Islam yang menjadikan politik sebagai wasilah perjuangan.
Keterbukaan PAS dalam menerima pencalonan untuk mencabar pimpinan sepatutnya hanya dilihat dari sudut tuntutan organisasi dan akta pertubuhan di Malaysia sahaja.Tetapi bukanlah Dewan Pemuda tidak bersetuju dengan perkara di atas. Kenyataan Presiden dan Mursyidul Am di media perdana baru-baru ini jangan disalah tafsirkan dengan penafsiran setiap orang layak bertanding untuk jawatan-jawatan peringkat cawangan hinggalah ke peringkat pusat. Cuba kita fikirkan apa akan jadi dengan PAS jika proses tapisan tak dilakukan oleh kita semua. Kita bertanggungjawab atas pencalonan yang dibuat dan timbangan tapisan hanyalah berkisar dengan tarbiyah kerana inilah ciri-ciri yang membezakan kita dengan parti sekular yang lain. Kita harus berbeza dan perbezaan itu tidak semestinya mengundang kegoncangan jamaah.
Kita semua maklum bahawa dewan-dewan menjadi sayap kepada kekuatan kawasan di mana Dewan Pemuda sebagai sayap kanan dan Dewan Muslimat sebagai sayap kiri. Sifat sebagai sayap biasanya kena bergerak lebih cepat dan bekerja keras dalam memenuhi tuntutan pelbagai gerak kerja dan amanah. Dewan Pemuda akan meneruskan kerjasama pintar dengan Dewan Muslimat walaupun Ketua Muslimat telah bertukar kerana kami mempunyai “mimpi yang sama” InsyaAllah.
Akhirnya harapan Dewan Pemuda PAS Puchong adalah untuk melihat PAS Puchong bergerak dengan lebih teliti, efisyen dan berdaya saing mengikut tuntutan zaman dengan tidak menggadai prinsip dan akar perjuangan yang kita warisi selama ini. Maafkan Dewan Pemuda jika ada perkataan dan tindakan yang menghiris para perwakilan. Moga Allah memberkati kita semua.
Lagi Gambar dalam FB Pas Puchong di sini dan di sini