Ikuti Blog ini

Himpunan BERSIH: Manifestasi Suara Rakyat Untuk Pilihanraya Yang Adil Dan Bersih

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyelar pandangan wadah milik UMNO, Mingguan Malaysia apabila menyifatkan perhimpunan BERSIH 2.0 adalah sebagai tindakan 'kotor' anjuran Pakatan Rakyat bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah tegas beliau, perhimpunan Bersih yang dianjurkan menggambarkan tuntutan dan kebangkitan rakyat yang mahukan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

"Pandangan Utusan itu adalah pandangan yang terlalu jauh ketinggalan zaman, yang tidak subur dalam konteks demokrasi kerana apa yang Bersih tuntut adalah satu perhimpunan aman yang kita mahu perjelaskan tentang satu fenomena pilihan raya yang adil dan bersih."

Jelasnya himpunan BERSIH juga bertujuan "membersihkan" kredibiliti Suruhanjaya Pilihanraya supaya tidak terpalit dengan persepsi yang boleh menjejaskan kewibawaannya sebagai satu badan di bawah nangan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian memberitahu TV Selangor bahawa pihak penganjur memberi jaminan perhimpunan ini akan berjalan dengan aman tanpa sebarang ketegangan yang boleh mencetuskan huru-hara sekiranya pihak keselamatan memberikan kerjasama yang baik.

Perhimpunan Bersih pada tahun 2007 di Dataran Merdeka disertai oleh 100, 000 orang. Kali ini penganjur Bersih berhasrat menghimpunkan 300,000 peserta bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Ada pihak meramalkan pilihanraya umum ke 13 akan diadakan sewal bulan depan atau selewat-lewatnya Mac tahun depan.

Hasrat penganjur Bersih menimbulkan kegusaran kepada Putrajaya dan beberaka kumpulan pro-Umno membuat laporan polis mendesak perhimpunan itu dibatalkan.

"Ia satu tekanan yang telah berjaya kita berikan kepada pihak kerajaan untuk kita galas satu pilihan raya yang adil dan bersih, jadi ini merupakan satu respon yang menujukkan mereka bimbang terhadap kebangkitan rakyat semakin menuntut hak mereka untuk melihat satu pilihan raya yang benar-benar menepati ciri-ciri sebuah negara yang mengamalkan demokrasi."

Beliau turut kecewa dengan kenyataan yang dilemparkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyifatkan perhimpunan tersebut boleh mengakibatkan huru-hara.

"Satu pandangan yang saya rasa tidak sepatutnya lahir daripada seorang Menteri seperti Hishamuddin, dia tidak boleh menuduh perkara itu tanpa perhitungan yang adil. Ini jelas menunjukkan sikap terdesak beliau bila kita mahu mengadakan satu perhimpunan yang aman tetapi dia telah buat kenyataan yang memberikan kesalahan sebelum perhimpunan itu diadakan." -tvsnews


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .