Ikuti Blog ini

Sampai bila pun Umno tak faham perjuangan PAS

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mendakwa PAS hilang konsistensi dalam isu menjaga ketekalan dasar perjuangan parti.

Baginya, apa yang diperkatakan oleh Khaled membuktikan sekali lagi bahawa Umno sangat resah dan gelisah dengan perkembangan terbaru dalam PAS

“Saya rasa sampai bila pun pemimpin Umno tidak akan faham dengan perjuangan parti PAS kerana parti tersebut selesa dengan situasi berada di bawah tempurung besi, jauh sekali untuk memahami apa yang diperjuangkan oleh PAS.

“Kalau saya bertanyakan kepada Khaled tentang apa yang sebenarnya yang diperjuangkan oleh Umno dia pun tidak mampu jelaskan, bagaimana beliau menyibuk untuk mengulas mengenai PAS,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Beliau mengulas Mohamed Khaled Nordin yang dilaporkan berkata PAS perlu meminta maaf kepada Umno kerana pelbagai tuduhan menyebabkan rakyat terutama masyarakat Melayu berpecah belah dan keadaan negara tidak tenteram.

“PAS patut minta maaf kepada Umno sebab selama perjuangkan dasar menegakkan Islam menuduh Umno tidak betul tetapi baru-baru ini mengubah dan menyatakan perjuangan itu (negara Islam) tidak ada dalam al-Quran dan yang ada negara kebajikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Usahawan Muda dan Jom Cari Kerja Kolej Komuniti Wilayah Pantai Timur, di sini, semalam.

Selain itu, Khalil yang juga Adun Titi Serong melihat pemimpin Umno sudah buntu untuk memikirkan helah dan cara memecah belahkan Pakatan Rakyat dan PAS itu sendiri dengan taktik yang pelbagai.

Bagaimanapun, beliau yakin PAS tidak akan tergugat dengan pelbagai jolokan yang digunakan oleh Umno bagi mengelirukan rakyat.

Katanya, pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Umno membuktikan ia sebuah parti yang terlalu jumud sehingga enggan menerima perubahan.

Menurutnya, walaupun perubahan yang berlaku dalam kepimpinan PAS bukan terhadap asas dasar parti, tetapi Umno dilihat seperti hilang fokus dan menipu kerana telah menumpukan penerangan kepada umum bahawa PAS telah lari dari dasar perjuangan.

Tegasnya, PAS tetap konsisten dengan prinsip yang ditetapkan sejak awal penubuhan dan akan tetap dengannya kerana Al-Quran dan Hadis menentukan bahawa sebarang bentuk praktikal dalam perjuangan dan apa-apa perkara sekalipun perlu bermatlamatkan Allah.

Menurutnya, Umno mengaku bahawa mereka pejuang bangsa Melayu dan agama Islam tetapi bersikap talam dua muka dalam isu seperti yang dimainkan terhadap PAS.

Beliau menambah, setelah separuh abad, Umno BN gagal berubah walaupun PAS yang merupakan parti lawan yang sama “tua” telah melakukan lonjakan persepsi yang mana PAS telah berjaya mendapat perhatian dari di kalangan yang bukan Islam.

“Kerana itu Umno cemas dengan sokongan terhadap PAS yang meningkat di luar jangakaan itu.

“Wujudnya kelab penyokong PAS yang telah dinaik taraf kepada Dewan Himpunan PAS dan ini telah menjadikan PAS sebuah sebagai parti bukan untuk satu bangsa dan kaum,” ujarnya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .