Ikuti Blog ini

MP Khalid Samad, Khairy antara sertai misi ke Gaza

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Malaysia akan meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memastikan keselamatan flotilla kemanusiaan, yang antara lain disertai Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen PAS dari Shah Alam Khalid Samad yang bakal berlepas ke Gaza minggu depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menulis kepada Setiausaha Agung PBB Ban Ki-Moon untuk melantik wakil bagi memeriksa dan mengesahkan flotilla kemanusiaan itu yang disertai lebih 600 pertubuhan bukan kerajaan dari 20 negara itu tidak membawa sebarang senjata, dan semata-mata membawa bantuan kemanusiaan.

Malaysia juga meminta PBB supaya memastikan keselamatan kapal-kapal flotilla kemanusiaan tersebut semasa ia berada di perairan antarabangsa, kata Najib di sini malam semasa melancarkan Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia bagi menyertai International Freedom Flotilla II ke Gaza.

Seramai 10 orang rakyat Malaysia, termasuk dua wakil media akan turut sama dalam pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) kali kedua ke Gaza yang dikenali sebagai “International Freedom Flotilla II”.

Selain Ketua Misi LL4G, Dr Noorazman Mohd Samsudin, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau da Khalid, turut sertai ialah Pengerusi Aman Malaysia Datuk Ahmad Zaki Zahid dan Bendahari Muslim Care Malaysia Zulkefli Wahijan.

Turut sama Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Islamiah al Ehsan Ismail Darus, wartawan Astro Awani Nazri Kahar dan jurukameranya Wan Yusani Amir.

Najib berkata permohonan yang kerajaan Malaysia kemukakan kepada PBB adalah berasaskan permohonan yang diterima dari LL4G yang didapati wajar dibantu oleh kerajaan.

Terdahulu, dalam ucapan aluannya, Noorazman meminta kerajaan supaya mengemukakan dua cadangan kepada PBB bagi mengelak berulangnya tragedi ke atas “Freedom Flotilla” pada 31 Mei tahun lalu enam kapal daripada flotilla itu diserang oleh tentera Israel di perairan antarbangsa.

Ketika tragedi itu, “Freedom Flotilla” anjuran Gerakan Pembebasan Gaza (FGM) dan Yayasan bagi Hak Asasi Manusia Turki sedang membawa bantuan kemanusiaan dan bahan binaan.

Misi tersebut yang dijangka memulakan pelayaran ke Gaza pada 27 atau 28 Jun bertemakan “Pertahankan Kemanusiaan” dan akan disertai 13 kapal antarabangsa — 10 kapal penumpang dan tiga kapal kargo.

Misi itu untuk menghantar bantuan kemanusiaan, turut akan memberi tekanan kepada Israel supaya menamatkan halangan ekonomi terhadap penduduk Palestin khususnya di Gaza.

Najib juga berkata kerajaan akan bantu mengusahakan dana bagi menubuhkan sebuah pusat trauma untuk kanak-kanak di Gaza.

Selain terus berusaha memastikan isu pembebasan Palestin dilakukan hingga satu penyelesaian dicapai, katanya.

Beliau berkata Malaysia juga akan mengetengahkan kepada dunia kesengsaraan rakyat Palestin.

“Kalau tidak buat apa-apa, dunia tidak akan teringat isu Palestin. Tetapi jika ada gambaran terhadap perjuangan ke atas Palestin, world opinion (pendapat dunia) sedikit demi sedikit akan berubah,” katanya.

Perdana Menteri berkata dunia juga tidak harus berputus harapan dalam perjuangan tersebut walaupun menghadapi pelbagai rintangan.

“Kita jangan merasa yang kita telah kalah, kita akan menggunakan cara lain. Bukan menggunakan kekerasaan, tetapi menggunakan rasa kemanusiaan dunia untuk memperjuangkan nasib Palestin,” katanya.

Sementara itu, Noorazman berkata konvoi kali ini bukan sahaja akan melalui jalan laut tetapi juga darat.

Noorazman berkata, sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk serangan daripada tentera laut Israel, pihaknya akan memulakan latihan bermula esok, termasuk latihan kecemasan ketika berada di air, berhadapan dengan komando Israel dan tekanan mental.

Beliau berkata, mereka akan membawa alat pendidikan, makanan, ubat-ubatan serta barang-barang binaan.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .