Anak perempuannya Nurul Huda berkata, dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, beliau mendapati bahagian pagar depan dan lantai halaman rumahnya terbakar, selepas dimaklumkan jiran.
Ibunya ketika itu berada di kampung halamannya di Perlis manakala Mohamad pula dipercayai mempunyai program di Pulau Pinang pada masa itu.
Nurul Huda, 27, berkata, jiran-jiran memaklumkannya melibat dua lelaki berada sekitar kawasan kediaman mereka sebelum mendapati api menyambar pagar rumah Mohamad.
Api itu juga dipadam terlebih dahulu oleh jirannya sebelum memaklumkan kepadanya kejadian itu, kata peguam muda itu.
'Sudah berjaga-jaga'
Menceritakan kembali detik-detik semalam, Nurul Huda berkata, sejurus lepas kejadian, beliau terus menelefon pihak polis bagi memaklumkan perkara itu.
"Polis datang kira-kira pukul 1 pagi. Saya buat laporan polis di situ juga. Salinan repot saya ambil pagi tadi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
"Saya sudah rasa lain macam dalam dua, tiga hari sejak lampu jalan depan rumah saya tidak menyala. Jadi, saya sudah ambil langkah berjaga-jaga," katanya.
Pada 8 September lalu, Mohamad mendakwa menerima SMS ugutan daripada daripada individu tidak dikenali yan mengancam mahu menyimbah asid terhadap isteri dan anak perempuannya.
Beliau menyifatkannya sebagai ancaman berat yang diterimanya berpunca daripada laporan Utusan Malaysia pada 27 Ogos berkaitan Mat Indera, tragedi Bukit Kepong dan sejarah kemerdekaan yang didakwa memfitnahnya. -M'kini