“Jika rakyat tidak percaya kepada janji Najib, ia adalah salahnya sendiri kerana rekodnya sebagai Perdana Menteri sejak April 2009 tidak menunjukkan dia berani melaksanakan apa yang dijanjikannya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Lim, selain desakan rakyat dan masyarakat antrabangsa, tekanan terhadap Najib daripada kalangan orang-orang kanan kerajaan sendiri membuatkan beliau terpaksa berjanji untuk memansuhkan ISA.
Lim berkata janji-janji Najib hanya boleh dipercayai jika beliau berani menangani lima persoalan utama:
“Adakah dengan pemansuhan ISA dan pindaaan undang-undang lain akan dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang atau ia cuma umpan janji-janji pilihan raya BN?
“Adakah undang-undang yang akan menggantikan akta-akta zalim yang dimansuhkan itu bakal melahirkan undang-undang yang sama kejamnya dalam bentuk baru; contohnya, memansuhkan ISA tetapi menggubal undang-undang baru yang sama seperti ISA?
“Adakah Najib sanggup memansuhkan semua peruntukan dalam undang-undang yang selama ini telah memperlekehkan doktrin pemisahan kuasa termasuk yang tidak membenarkan penelitian semula (judicial review) terhadap keputusan kuasa eksekutif?
“Adakah Najib akan menyokong usul di Parlimen untuk menerima konvensyen-konvensyen hak asasi antarabangsa, khususnya Piagam PBB mengenai Hak Sivil dan Politik serta Piagam PBB mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya?”
“Sebelum Najib berangan-angan mahu menjadikan Malasia sebagai 'negara demokrasi terbaik di dunia', beliau perlu menjelaskan kepada rakyat, bila beliau mahu menarik balik pengharaman BERSIH 2.0 dan bila beliau akan menarik balik tuduhan terhadap mereka yang ditangkap kerana kempen BERSIH 2.0?” soalnya. -M'kini