Ikuti Blog ini

Hudud mampu cegah murtad


DUN SELANGOR

SHAH ALAM: Gejala murtad yang melanda umat Islam di negara ini mampu dicegah dengan pelaksanaan hukum hudud, tegas Exco Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali.

Tanpa merujuk kepada mana-mana negeri dalam Malaysia, beliau berkata, ini berpandukan kepada pengalaman negara-negara luar yang berjaya menangani masalah (murtad) ini.

“Murtad boleh dicegah melalui pelaksanaan undang-undang Islam misalnya hudud dan salah satu jenayah hudud ialah murtad,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong-BN) pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Shamsudin bertanya mengenai apakah langkah dan tindakan yang diambil oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) untuk mencegah orang Islam keluar dari agama Islam.

Unit Selamatkan Akidah

Hassan berkata Jais komited melaksanakan beberapa pelan tindakan mengatasi gejala murtad dengan menubuhkan Unit Selamatkan Akidah pada Ogos lalu.

Katanya, Jais bertindak menguatkuasa dua enakmen iaitu Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam) 1998 terhadap mana-mana individu, persatuan atau pertubuhan yang mendakyah agama selain Islam kepada orang Islam.

“Jais juga menguatkuasa Enakmen Jenayah Syariah 1995 di bawah Seksyen 10 kesalahan menghina atau menyebabkan Islam
dipandang hina atau mana-mana kesalahan berkaitan,” terang beliau.

Isu murtad menjadi hangat ekoran tindakan Jais membuat pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, setelah mendapat maklumat tentang percubaan untuk memurtadkan orang Islam di satu majlis makan malam anjuran Komuniti Harapan.

Sementara itu, Hassan berkata Jais telah menjalankan kajian dan mempunyai bukti penyebaran agama terutamanya Kristian ke atas masyarakat Islam di negeri Selangor.

“Hasil kajian Jais, pelbagai usaha dilakukan pihak Kristian untuk mendakyahkan orang Islam di antaranya menubuhkan pelbagai pertubuhan kebajikan atau persatuan bagi memberi bantuan dan mewujudkan kelas tuisyen percuma.

“Agama Kristian juga disebarkan secara halus dengan menterjemah dan menggunakan kalimah Allah dalam kitab ‘Bible’ versi bahasa Melayu,” kata beliau.

Hassan bagaimanapun melahirkan keyakinan bahawa dengan sokongan dan dokongan seluruh umat Islam, masalah tersebut mampu diatasi.

Tegas beliau, “kita tak boleh tuding jari kepada semua pihak kerana ia tanggungjawab semua. Ia bukan semata-mata usaha Mufti, Jais, Mais, Qadi tetapi menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam,” katanya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .