Ikuti Blog ini

901: PAS Tidak Layan Hassan Ali, Akan Tetap Hadir Perhimpunan

Mat Sabu: Ahli PAS boleh hadir 'Bebaskan Anwar'

Ahli, pemimpin dan penyokong PAS boleh menghadiri perhimpunan ‘Bebaskan Anwar’ pada 9 Januari ini meskipun tiada arahan bertulis daripada pemimpin atasan, kata timbalan presiden parti itu Mohamad Sabu.

Beliau mengulas kenyataan bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali yang semalam mengeluarkan kenyataan bahawa adalah tidak sesuai mengheret rakyat menyertai perhimpunan haram itu semata-mata bagi mempertahankan isu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasan yang juga exco kerajaan negeri Selangor juga mengumumkan bahawa beliau tidak akan hadir pada Isnin ini.

"Itu kehendak dia. Presiden dan saya akan hadir... Setakat ini tidak ada arahan bertulis (daripada PAS Pusat).

"Kalau presiden dan timbalan presiden hadir, maknanya ahli boleh hadir,”
katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.

"Ahli dan penyokong PAS, boleh mengiringi presiden dan timbalan presiden untuk mengikuti keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini," kata Mohamad yang popular dengan panggilan Mat Sabu.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (berserban) dilaporkan oleh Harakahdaily berkata bahawa terserah kepada ahli parti itu untuk menentukan sama ada untuk menghadiri perhimpunan aman berkenaan.

"Saya akan hadir, terserah masing-masing,"
katanya yang disampaikan setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada organ rasmi parti itu.

Pandangan peribadi

Hasan juga semalam turut menasihatkan mahasiswa dan pelajar khususnya yang sedang menghadapi peperiksaan dalam tempoh ini supaya tidak menghadiri perhimpunan itu.

Pemimpin PAS yang rapat dengan Umno itu juga mempersoalkan kewajaran Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman yang mengarahkan ahli-ahli PAS supaya hadir dengan berkata bahawa ia adalah tidak sesuai, meskipun Abdul Hadi dan Mohamad telah mengesahkan kehadiran mereka.

Hasan juga mencadangkan supaya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang diangkat menjadi perdana menteri jika ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim didadapati bersalah pada perbicaraan kes liwatnya, Isnin ini.

Hasan secara tidak langsung menyindir ketua pembangkang itu dengan berkata apabila memilih seseorang pemimpin, selain rekod prestasi mereka dalam kerajaan dan peringkat antarabangsa, latar keluarga mereka juga perlu diberi perhatian.

Mengulas keceluparan pemimpin PAS itu, Mohamad berkata ia adalah pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi PAS.

"Beliau masih lagi ahli jawatankuasa PAS Pusat, beliau boleh mengemukakan (cadangan itu) dalam mesyuarat jawatankuasa. Beliau ada saluran dalam PAS.

"Kemudian PAS akan mengemukan cadangannya itu dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. Keputusan mesyurat (Pakatan) adalah pandangan yang sebenar.

"Sistem kita sistem parti, bukan sistem individu," katanya.

Buta hati, buta mata

Menurut Mohamad lagi, adalah lebih baik cadangan tersebut disalurkan melalui parti daripada terus diumumkan kepada umum.

Tindakan Hasan itu juga mengundang keberangan daripada PKR.

“Hasan Ali sudah buta hati dan buta mata. Hanya mampu mengulangi skrip Umno.

“Ketika Hasan Ali mencerca Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada masa yang sama, 5 petang tadi (semalam) YAB Tuan Guru Datuk Nik Aziz sedang meraikan Anwar di Kota Bharu,”
tulis timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali di twitter.

Menjawab cadangan yang dikemukakan di twitter oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya Menteri Besar Selangor memecat Hasan, Azmin membalas “Apakah Umno bersedia menerimanya?” -M'kini


Pas tidak 'kisah' Hasan Ali, tetap sertai 901


SHAH ALAM - Pas Selangor tetap dengan pendirian akan menyertai perhimpunan Bebaskan Anwar 901 Isnin ini, sambil menyifatkan kenyataan Datuk Dr Hasan Ali semalam sebagai "pandangan peribadi" beliau semata-mata.


Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman juga menolak dakwaan Hasan bahawa beliau hanya mengeluarkan pandangan peribadi, bukannya pendirian parti Islam itu apabila menggatakan akan menggerakkan ahli dan pengikutnya menyertai perhimpunan minggu depan.


Abd Rani, yang menggantikan Hasan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor Jun lalu menambah, pemimpin-pemimpin tertinggi parti termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar sendiri sudah mengatakan bakal menyertai perhimpunan yang akan diadakan pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mengumumkan keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Ini bukan pandangan peribadi saya. Ketua Penerangan Pas Selangor pun sudah mengatakan akan menghantar SMS meminta ahli-ahli Pas sertai perhimpunan 901, malah Presiden Pas dan Datuk Mahfuz juga sudah mengatakan akan sertai.


"Jadi apa isunya? Ini bukan pandangan peribadi saya, tetapi saya lihat apa yang dikatakan oleh Datuk Hasan semalam adalah pandangan peribadi beliau semata-mata," katanya kepada Sinar Harian Online pagi ini.


Abd Rani berkata kenyataan beliau tempoh hari ini sebenarnya telah diputuskan oleh pemimpin-pemimpin parti dalam mesyuarat-mesyuarat yang telah diadakan sebelum ini, yang mana Hasan sendiri tidak hadir.

"Sudah tiga kali kami menjemput Datuk Hasan agar hadir mesyuarat (Pas Selangor). Beliau sendiri tidak datang.

"Jadi, jangan kata ini pendirian peribadi saya, apa yang dikatakan oleh Datuk Hasan tidak betul,"
katanya lagi.



Dalam satu kenyataan semalam, Hasan berkata perhimpunan Bebaskan Anwar 901 Isnin ini tidak harus disertai dan tidak wajar diadakan kerana ia adalah isu peribadi seorang pemimpin, yang tidak membabitkan soal masyarakat.


Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berkata tindakan Rani itu hanya pendapatnya sendiri dan telah membelakangi pandangan pimpinan pusat.


Hasan, salah seorang pemimpin yang menjadi perhatian dalam kontroversi berkaitan isu bakal calon Pas bulan lalu menegaskan, beliau tidak akan menyertai perhimpunan Isnin ini.


“Pas Selangor nampak proaktif dalam cara yang salah sebab sebelum ini dihalang ahli pergi Himpun 2011, padahal itu perkara baik membincangkan isu agama yang sebenarnya hala tuju parti Pas.


“Kalau diteruskan sikap seperti ini, pandangan parti nampak tak cantik. Jangan malukan parti dengan kenyataan dia (Rani) yang tidak mewakili Pas, itu kenyataan peribadi dia," katanya.


Sebaliknya Abd Rani menambah, Pas Selangor sebenarnya tidak mahu "melayan sangat" isu membabitkan Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia.


"Cakap terus-terang, saya tidak memberi perhatian sangat isu Datuk Hasan ini. Kita ada banyak lagi isu besar untuk diuruskan, mengadakan kempen Gelombang Hijau misalnya, bagi menghadapi pilihan raya umum.


"Kita serahkan kepada Pas pusat untuk mengendalikan isu-isu membabitkan Datuk Hasan," katanya lagi. -SH
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .