Ikuti Blog ini

Permulaan Baik Keadilan Di Malaysia - Presiden PAS. Qazaf Hendaklah Diteruskan - Juham

PAS mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembebasan beliau hari ini dan harap ia permulaan baik untuk proses keadilan di Malaysia.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap, keputusan ini menguatkan lagi Pakatan Rakyat.

Gambar: Ustaz Hadi ketika tiba bersama pemimpin PAS di perkarangan mahkamah hari ini

Kenyataan itu disampaikannya ketika ditemui para wartawan di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Hadi berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bersama dengan puluhan ribu rakyat nyang berhimpun bagi memberikan sokongan moral kepada Anwar.

Anwar dibebaskan oleh mahkamah selepas pihak pendakwa gagal memberikan bukti tanpa keraguan dalam kes ini.

Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah berkata, pihak mahkamah tidak dapat menolak kemungkinan kesahihan sampel yang dikemukakan telah dikompromikan.

"Kita harapkan keputusan ini menguatkan lagi Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya akan datang," kata Abdul Hadi.

Beliau juga bagi pihak PAS melahirkan rasa shukur kepada Allah dan "kita ucap tahniah kepada Datuk Seri Anwar di atas pembebasan ini."

Beliau berharap, ini permulaan baik kepada proses keadilan di Malaysia melalui sistem pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehaikaman yang di amal dalam negara demokrasi.

Bukan sahaja mahkamah ini, mahkamah rakyat juga perlu diberi keadilan dalam pilihan raya, katanya.

Ketika ditanya wartawan, adakah mahkamah sudah dilihat adil, Abdul Hadi berkata, "Masih terlalu awal, beribu-ribu kes lagi banyak lagi kes yang kita perlu tengok." -Hrkh



Gambar: Kartun AMN yang membayangkan permerhatian beliau terhadap keputusan mahkamah hari ini



Teruskan pertuduhan qazaf terhadap Saiful

KUALA LUMPUR, 9 Jan: Mahkamah Syariah digesa meneruskan pertuduhan qazaf yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan (gambar).

Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, pertuduhan qazaf itu harus diteruskan memandangkan Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Anwar bebas daripada tuduhan meliwat Saiful.

"Keputusan mahkamah hari ini menunjukkan tidak berlaku dakwaan liwat.

"Kes ini (qazaf) telah difailkan tetapi sengaja ditangguhkan tanpa sebab, kononnya untuk menunggu keputusan mahkamah dan hari ini mahkamah membuktikan tidak berlaku liwat," kata beliau ketika ditemui di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan Anwar yang merupakan Ketua Umum PKR, bebas daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukjari Azlan di sebuah kondominium, empat tahun lalu.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati wujudnya elemen tiada integriti dalam sampel DNA.

Menurut Ahmad Zamri, dengan keputusan tersebut, Saiful berhak didakwa di bawah kesalahan qazaf kerana memfitnah Anwar meliwat tanpa membawa saksi.

"Ini merupakan kesalahan jenayah syariah dan saiful boleh dituduh di bawah akta kesalahan jenayah Wilayah Persekutuan," katanya.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Anwar memfailkan tuntutan qazaf tersebut pada 8 Julai 2008 namun ditolak. -Hrkh


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .