KAMUNTING, 17 MEI:  Satu-satunya cara untuk mewujudkan Malaysia yang 
baru ialah dengan menolak politik perkauman dan manipulasi agama yang 
sering dimainkan oleh Barisan Nasional, termasuk UMNO dan MCA.
Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, politik perkauman dan 
manipulasi agama telah menjadi penghalang kepada usaha menyatupadukan 
rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
“Kata-kata “Cina balik China, India balik India’ sudah tidak ada 
tempat di negara ini. Para pengundi perlu berani untuk membuat perubahan
 dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu ceramah bersama Pakatan Rakyat di sini malam tadi yang dihadiri lebih 6,000 orang.
Nga yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, beliau sendiri telah 
berusaha untuk memastikan semua kaum, termasuk orang Melayu, mendapat 
pembelaan sewajarnya kerana ia adalah tanggungjawab semua.
“Saya sendiri menyumbang kepada satu majlis berkhatan beramai-ramai 
yang melibatkan 500 kanak-kanak Melayu di kawasan saya. Saya juga 
melawat masjid untuk menyampaikan sumbangan ikhlas serta menyertai umat 
Islam dalam majlis berbuka puasa.
“Ini membuktikan DAP adalah parti yang bersifat inklusif yang 
menerima semua orang tanpa mengira kaum dan agama, malah menghormati 
semua kaum dan agama.
“Jadi jangan lagi percaya dengan fitnah UMNO kononnya Dap adalah parti anti-Melayu, anti-Islam. Itu semua bohong,” ujarnya.
Di
 majlis yang sama, Timbalan Presiden PAS Mohamed Sabu berkata, selain 
UMNO, parti komponen BN yang paling takut dengan PAS adalah MCA kerana 
kepimpinannya bimbang dengan usaha PAS untuk mewujudkan Negara 
Berkebajikan.
Katanya, apabila PAS tidak menggunakan istilah Negara Islam, MCA 
bimbang kerana ia tiada lagi bahan propaganda untuk memburukkan DAP yang
 kononnya bersekongkol dengan PAS bagi menubuhkan Negara Islam.
“MCA selalu memburukkan PAS untuk menakutkan kaum Cina. Tapi tahukah 
mereka bahawa di Kelantan, kerajaan negeri PAS telah memberikan tanah 
kepada kaum Cina untuk membina sekolah, malah memberi sumbangan unruk 
dewan orang Cina. 
Mengapa MCA membisu dalam hal ini? Ini tidak adil,” 
tambah beliau.
Menurutnya, parti-parti komponen BN sanggup mempermainkan Islam 
semata-mata ingin menakutkan rakyat yang semakin ghairah mahu membuat 
perubahan besar dalam PRU akan datang. – Roketkini.com
