Ikuti Blog ini

Husam: Lebuh Raya Rakyat KBKK diteruskan

Nik Abdul Aziz Nik Mat
TG Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan Tabung Akaun Amanah Lebuh Raya Rakyat KBKK di Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam malam ini. - Foto oleh Zulfadhli Ahmad Zaki

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Kelantan akan meneruskan projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) menggunakan kutipan derma dan sumbangan, yang boleh disalurkan menerusi tabung amanah lebuh raya dilancarkan hari ini.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, pelancaran tabung ini akan membantu Kerajaan Negeri Kelantan meneruskan rancangan pembinaan kemudahan itu walaupun tanpa bantuan Kerajaan Pusat.

Menurutnya, kos keseluruhan lebuh raya itu dianggarkan RM350 juta, mampu dijayakan melalui modal alternatif daripada sumber mineral negeri itu.

"Kita lancarkan program tabung derma wakaf untuk projek lebuh raya KBKK mampu menanggung kos pembiayaan yang menelan kos RM350 juta dan kita boleh kurangkan kos dengan strategi yang akan diaturkan.

"Kita ada mineral, kita boleh guna sumber itu untuk kepentingan dan kesenangan rakyat serta setakat ini kita dah pungut modal sebanyak RM3 juta melalui (pertubuhan bukan kerajaan) NGO seluruh negara serta RM1 juta sumbangan melalui online," kata beliau pada Majlis Pelancaran Tabung Akaun Amanah Lebuh Raya Rakyat KBKK di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, malam ini.

Sebelum ini, beberapa NGO mendakwa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta derma rakyat bagi menampung kos pembinaan projek Lebuh Raya Rakyat satu sandiwara politik terhebat abad ke-21.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, pembinaan lebuh raya itu hanyalah propaganda dan retorik Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu, Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, Lebuh Rraya Rakyat akan memberi kemudahan kepada rakyat terutama waktu cuti umum serta menunjukkan rakyat Kelantan sudah mampu mencipta sejarah tanpa bantuan Kerajaan Pusat.

"Kita mampu bina tanpa bantuan Kerajaan Pusat, negeri kita bukan miskin, kita ada mineral seperti bijih timah dan minyak.

"Kita akan bina lebuh raya tersebut ikut kemampuan negeri jika sepanjang 40 kilometer dahulu, kita buat, nanti akan sambung sehingga 73 kilometer," katanya.

Selain itu, beliau berkata, negeri itu mempunyai pakar sendiri dalam bidang pembinaan dan mampu digerakkan tanpa bantuan orang luar.

Dalam pada itu, Nik Aziz yang melancarkan tabung amanah lebih raya berkata, ia bertujuan mengumpul dana bagi merealisasikan pembinaan laluan sejauh 73km bagi kemudahan rakyat Kelantan.

Nik Aziz dalam ucapannya menggesa orang ramai menderma bagi memastikan Lebuh Raya Rakyat menjadi kenyataan.

Menurutnya, pahala orang yang menderma pada bulan Ramadan adalah 70 kali ganda berbanding pada bulan biasa.

"Orang Kelantan sering memberi derma bagi surau, sekolah dan kebajikan yang lain, mereka derma kerana pahala kerana kerajaan tidak beri peruntukkan.

"Pemimpin kerajaan tidak tahu tentang kesesakan 4 hingga 5 jam jalan raya di Kelantan, kerana mereka tidak memandu, sebaliknya guna kapal terbang," katanya.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Nik Aziz sebelum itu menghadiri majlis berbuka puasa dan solat Tarawih bersama anak-anak Kelantan.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Timbalan Pengerusi kumpulan, Nasir Hamzah.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .