SHAH ALAM - Mengapa Perdana Menteri baru sekarang mahu menubuhkan sebuah 
jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran royalti?
Kerajaan Pusat sepatutnya telah lama menubuhkan jawatankuasa
 khas berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri 
di Pantai Timur Semenanjung, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat petang 
ini. Malah menurut Menteri Besar Kelantan, jawatankuasa khas yang diumumkan 
oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewajarnya selesai 
membincang dan merunding isu berbangkit itu dalam tiga bulan lalu.
Sehubungan itu, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mempersoalkan 
tindakan Perdana Menteri yang baru sekarang mahu menubuhkan sebuah 
jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran royalti.
"Jawatankuasa ini patut ditubuhkan sejak dulu lagi.
"Semasa perjanjian di antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas 
dibuat pada 9 Mei 1975, tapi mengapa baru sekarang mahu tubuhkan?” 
katanya ditemui sebelum pelancaran Tabung Amanah Lebuhraya Rakyat dan 
majlis berbuka puasa di Kompleks Media Karangkraf di sini.
Tengah hari tadi, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan 
menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran tunai 
hasil petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung. Menurut 
Najib, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua 
Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar 
undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri 
Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri 
berkenaan.
Jawatankuasa itu akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa 
enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek 
tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan, 
kata Najib.
Nik Aziz turut membidas keputusan Najib yang mahu kajian menyeluruh 
dilakukan dalam tempoh enam bulan yang sepatutnya mengambil jangka masa 
lebih pendek sekurang-kurangnya tiga bulan sahaja. Beliau  berkata,  pihaknya belum lagi membuat sebarang keputusan 
mengenai nama wakil Kelantan yang akan mewakili negeri itu dalam 
jawatankuasa khas berkenaan.
“Belum ada lagi sebarang perbincangan. Saya sendiri akan mengadap 
Sultan Kelantan bagi menghantar nama wakil dan hanya pada masa itu akan 
diumumkan nama wakil bagi negeri Kelantan,” jelas beliau.
Beliau turut bertegas yang Kelantan mempunyai hak sepenuhnya ke atas 
royalti minyak kerana kedudukan pelantar cari gali minyak berdekatan 
dengan pesisiran pantai negeri Kelantan. (SH)

 

 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
