Ikuti Blog ini

Imam Hoslan dilepaskan di bawah perintah Parol


KUALA LUMPUR: Imam Hoslan Husin hari ini dilepaskan di bawah perintah Parol sehingga dibebaskan sepenuhnya pada 8 November ini.

Beliau dilepaskan bersyarat di Pejabat Parol Daerah Cheras kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Beliau dikehendaki melapor diri seminggu sekali mengikut arahan Parol Cheras sehingga tarikh tersebut.

Beliau di bawa ke sini jam 10.38 pagi dari Penjara Kajang.

Beliau sebelum ini dikenakan hukuman penjara selama tujuh bulan tiga hari.

Parol bermaksud pelepasan seseorang penghuni penjara yang mempunyai tarikh bebas dan layak, untuk menjalani mana-mana bahagian hukuman pemenjaraannya di luar penjara menurut sesuatu Perintah Parol

Penghuni dikehendaki menjalani baki hukumannya di luar penjara di bawah pengawasan pegawai Parol.

Hoslan yang ditemui di sebaik sahaja dilepaskan melahirkan kesyukuran kerana dibebaskan awal dari tempoh yang sepatutnya.

"Saya bersyukur apa yang berlaku ke atas saya, saya masuk penjara kerana kehendak Nya," katanya.

Beliau yang sedang menunggu isterinya Noorliza Mat Isa, 43 yang bergegas dari hopsital dari menjaga anaknya kerana demam denggi, terus memeluk isterinya dan anaknya sebaik sahaja mereka bertemu.

Isterinya yang diiringi wakil Pemuda PAS Pandan serta saudara mara tiba di sana kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Hoslan yang mengenakan jubah hitam bersemutar hijau turut berterima kasih kepada sahabat handai, pimpinan Pakatan Rakyat termasuklah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah memberi sokongan moral kepada keluarganya sepanjang beliau di penjara.

Sepanjang hampir tujuh bulan berada di penjara, beliau mengambil pengajaran dan mengibaratkan penjara itu sebagai madrasah tarbiyah.

Malah beliau memaafkan pihak yang menganiaya, namun akan terus memperjuangkan keadilan kerana ia adalah ijtihad dalam hidupnya.

"Masalah manusia adalah kerana dengki dan kianat dalam jiwa yang bersarang jadi jalan keluar ialah kita kena mengaji dan solat dan jaga silaturahim yang Allah perintah, sangat besar martabatnya kalau kita jaga.

"Saya sentiasa memaafkan kerana Rasulullah adalah seorang pemaaf, " ujarnya yang enggan mengulas lanjut berhubung kesnya kerana masih dalam perintah Parol.

Hoslan yang dijatuhkan hukuman setahun bermula pada 8 Mac lalu, selepas Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari mendapati dia bersalah menghina mahkamah.

Hoslan yang pernah menjadi imam ratib Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan bertindak membaling selipar ke arah ketiga-tiga panel hakim ketika mahkamah bersidang di Mahkamah Persekutuan I, Istana Kehakiman, antara 10.15 pagi dan 10.30 pagi pada 22 Feb lepas. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .