Ikuti Blog ini

[BOM MELETUP] Lajim Buat Akuan Bersumpah Umno Sabah Tak Pernah Terima RM 40 Juta


Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin mengisytiharkan Umno Sabah tidak pernah menerima derma politik RM40 juta dari ahli perniagaan, Michael Chia.

Pengisyiharan itu bercanggah dengan dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz Oktober lalu yang wang tersebut adalah untuk Umno Sabah.

Perisytiharan tersebut dibuat dalam satu akuan bersumpah (SD) bertarikh 10 Disember 2012, di pejabat Pesuruhjaya Sumpah Malaysia, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Lajim dalam SD tersebut, dakwaan Nazri di dalam Parlimen adalah supaya pendakwaan rasuah melibatkan skandal konsesi balak terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Micheal terpaksa digugurkan.

Pada 9 Oktober lalu dalam persidangan Dewan Rakyat, Nazri memberitahu, RM 40 juta yang disalurkan Micheal kepada Musa merupakan sumbangan politik kepada Umno Sabah dan bukannya untuk Musa secara peribadi.

Nazri membuat kenyataan itu selepas terdapat laporan media bahawa Michael ditangkap di Lapangan Terbang Hong Kong disyaki cuba menyeludup keluar wang haram berjumlah S$16 juta (RM 40 juta).

Menurut laporan media ketika itu, Michael mendakwa wang tersebut milik Musa.

Lajim pernah menduduki jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah sehingga tahun 2004 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sehingga Ogos 2012.

Beliau merupakan bekas anggota Badan Perhubungan Umno Sabah.

Beliau berkata tidak pernah berlaku sebarang perbincangan, perisytiharan, sebarang bukti urusniaga, transaksi atau urusan, laporan penyata atau bukti bahawa Umno Sabah ada menerima manfaat dari derma RM 40 juta itu.

“Oleh demikian, saya menyimpulkan bahawa kenyataan menteri berkenaan kepada parlimen adalah tidak benar, menyeleweng dan berniat menutup isu lebih besar.

“Iaitu dakwaan salahguna kuasa dalam anugerah lesen pembalakan di Sabah yang hanya menguntungkan beberapa orang sedangkan rakyat dan Negeri Sabah tidak mendapat pulangan setimpal,” menurut Lajim dalam SD itu.

Lajim yang mengesyaki lesen pembalakan di Sabah sering dianugerahkan kepada individu yang rapat dengan pemimpin Kerajaan Sabah.

Lajim juga mengesyaki wang haram tersebut disimpan di luar negara dengan menggunakan ajen tertentu sebelum disalurkan semula kepada pemimpin-pemimpin utama politik di Sabah.

Lajim berkata beliau bersedia tampil membantu siasatan mana-mana pihak dalam skandal pembalakan ini.

“Saya yakin pengalamaan, pengetahuan dan maklumat dalaman yang saya ada mengenai perjalanan Umno dan kerajaan di peringkat pusat dan negeri akan membantu siasatan,” ujar Lajim dalam SD itu.

Sementara itu, Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli memberitahu media, SD tersebut merupakan salah satu bukti yang akan diserahkan kepada Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) untuk memulakan siasatan skandal tersebut.

“Kedudukan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Badan Perhubungan Umno Sabah sepatutnya menjamin bahawa beliau juga akan dimaklumkan sekiranya ada sumbangan sebesar itu kepada Umno Sabah,” ujar Rafizi di dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini. -KD


Saya, Lajim Ukin (550615-12-5069) yang beralamat di Pejabat Perhubungan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS), Lot 18 & 19, Tingkat 1 & 2, Blok C, Millenium Centre, Jalan Lintas Kepayan, Penampang 88200 Kota Kinabalu, Sabah, dengan sesungguhnya dan sebenarnya membuat perakuan berikut: 1. Saya adalah seorang ahli politik yang telah memegang pelbagai jawatan kanan di dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) iaitu parti yang telah memerintah Malaysia sejak merdeka dalam tahun 1957;

2. Saya telah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah sehingga tahun 2004 dan telah menjadi wakil rakyat bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sejak 1994. Jawatan terakhir saya di dalam Kerajaan Malaysia adalah sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

3. Saya meninggalkan Kerajaan Malaysia dalam bulan Ogos 2012 berhubung perbezaan pendapat dan rasa tidak setuju mengenai pelbagai perkara terutamanya nasib rakyat Sabah yang telah lama diabaikan oleh Kerajaan Malaysia;

4. Sepanjang penglibatan saya dengan Umno, saya telah dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno sejak tahun 2000. Majlis Tertinggi Umno adalah badan pembuat keputusan yang tertinggi di dalam Umno dan bertanggungjawab terhadap segala keputusan Umno, termasuklah hal ehwal kewangannya;

5. Saya juga menganggotai Badan Perhubungan Umno Sabah yang bertanggungjawab terhadap segala keputusan Umno di peringkat negeri, termasuklah hal ehwal kewangannya;

6. Pada 9 Oktober 2012, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz mengejutkan Parlimen apabila beliau mengumumkan bahawa dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Musa Aman (berhubung dakwaan wang rasuah berjumlah RM40 juta yang dikaitkan dengan beliau) telah digugurkan;

7. Menteri berkenaan telah juga mengumumkan bahawa pihak berkuasa turut menggugurkan dakwaan rasuah terhadap seorang niagawan balak dari Sabah bernama Michael Chia, yang sebelum ini dikaitkan dengan tuduhan rasuah berhubung lesen pembalakan melibatkan Dato’ Seri Musa Aman;

8. Menurut kenyataan menteri tersebut di Parlimen, dakwaan rasuah terhadap Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia digugurkan atas alasan wang RM40 juta yang disiasat itu merupakan derma politik kepada Umno Sabah dan bukannya untuk kegunaan peribadi Ketua Menteri;

9. Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa sepanjang penglibatan dan pengalaman saya dalam pelbagai kedudukan kepimpinan dan pengurusan di dalam Umno di peringkat pusat dan negeri, saya tidak pernah tahu atau diberitahu mengenai:

i. Sebarang perbincangan yang berlaku di peringkat Majlis Tertinggi Umno atau Badan Perhubungan Umno Sabah mengenai usaha mendapatkan derma politik sebesar jumlah RM40 juta, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

ii. Sebarang pengisytiharan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi Umno atau Badan Perhubungan Umno Sabah bahawa derma politik sejumlah RM40 juta telah dibuat kepada Umno Sabah, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

iii. Sebarang bukti urusniaga, transaksi atau urusan yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi Umno atau Badan Perhubungan Umno Sabah yang boleh membuktikan bahawa Umno Sabah adalah penerima derma politik RM40 juta itu;

dan iv. Sebarang laporan atau bukti yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi Umno atau Badan Perhubungan Umno Sabah bahawa Umno telah mendapat manfaat dari derma politik RM40 juta itu;

10. Oleh yang demikian, saya menyimpulkan bahawa kenyataan menteri berkenaan kepada Parlimen adalah tidak benar, menyeleweng dan berniat untuk menutup isu yang lebih besar iaitu dakwaan salahguna kuasa dalam anugerah lesen pembalakan di Sabah yang hanya menguntungkan beberapa orang sedang rakyat dan negeri Sabah tidak mendapat pulangan setimpal;

11. Buat sekian lama, pembalakan telah menjadi sumber untuk mengkayakan diri bagi segelintir ahli politik dan pemimpin kerajaan Sabah. Dari pengalaman saya sendiri sebagai Timbalan Ketua Menteri, saya mengesyaki bahawa lesen pembalakan sering dianugerahkan kepada individu yang rapat dengan pemimpin kerajaan Sabah;

12. Wang haram dari kegiatan rasuah ini disyaki disimpan di luar negara menggunakan ejen yang mengendalikan penjualan balak pada harga yang rendah dan merugikan Kerajaan Negeri. Keuntungan dari penjualan balak pada harga rendah ini kemudiannya disalurkan sebagai rasuah dan dimasukkan ke pelbagai akaun di luar negara, yang akhirnya dipindahkan semula untuk manfaat ahli politik utama dan pemimpin kerajaan Sabah;

13. Saya bersedia untuk memberi kenyataan kepada mana-mana pihak berkuasa dari mana-mana negara yang menyiasat perkara ini untuk menghentikan jaringan rasuah yang melibatkan anugerah lesen pembalakan yang telah lama merugikan rakyat Sabah;

14. Saya yakin pengalaman, pengetahuan dan maklumat dalaman yang saya ada mengenai perjalanan Umno dan kerajaan di peringkat pusat dan negeri akan membantu siasatan.

Dan saya membuat Surat Akuan Sumpah ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah benar serta menurut Akta Akuan Berkanun 1960.

Diperbuat dengan sebenarnya dan
diakui oleh yang tersebut namanya
di atas di Kota Kinabalu
dalam negeri Sabah
pada 10 haribulan Disember, 2012

………………………………
LAJIM BIN UKIN

Dihadapan saya,

…………………………………….
PESURUHJAYA SUMPAH
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .