Ikuti Blog ini

Jika parlimen dibubarkan pada 22 Feb

KUALA LUMPUR: Berdasarkan keadaan terkini Perdana Menteri dijangkakan akan membubarkan parlimen pada 22.2.2013 (Jumaat). Kini semua orang sedang ternanti-nanti waktu pembubaran yang akan diumumkan.

Adakah tarikh 22.2.2013 akan benar-benar menjadi kenyataan atau hanya spekulasi seperti sebelumnya?

Demikian pertanyaan yang dilontarkan menerusi blog http://www.utusankini.com.


Ulasan seterusnya seperti di bawah.

Walaupun sebelum ini telah banyak tarikh dan spekulasi mengenai PRU13 ini diramalkan tapi semuanya tidak menjadi kenyataan. Ianya berlalu begitu sahaja sehinggakan peramal dan ahli nujum sudah hilang minat untuk memperkatakan bila tarikh pembubaran parlimen akan dibuat oleh Perdana Menteri.


Hanya Perdana Menteri sahaja yang tahu tarikh sebenarnya bila pembubaran parlimen akan diumumkan. Sehinggakan Datin Seri Rosmah Mansor ada berkata sekalipun beliau insan paling rapat dengan Perdana Menteri namun beliau tidak pernah dimaklumkan berkenaan tarikh pilihan raya.


Secara berseloroh, Rosmah berkata: "Masa tidur pun (Perdana Menteri) tak cakap tarikh pilihan raya, saya pun tak tahu bila pilihan raya, saya ingatkan PM akan cakap-cakap masa tidur, tapi tak juga," katanya.

Sebelum ini Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah membuat kejutan untuk  membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selepas sambutan Chap Goh Mei. Katanya ini adalah kerana pengundi di negeri itu kini sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Beliau mengesyorkan cadangan tersebut selepas berpendapat rakyat Selangor di bawah pemerintahan kerajaan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah bersedia.


"Saya tak nak rakyat tertunggu-tunggu bila pilihan raya diadakan...ini membazirkan tenaga dan menimbulkan banyak perbincangan berbentuk spekulasi."


Beliau berharap cadangan pembubaran DUN Selangor itu akan menggerakkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengumumkan tarikh pilihan raya. Selain itu, katanya, cadangan tersebut supaya pilihan raya diadakan secepat mungkin kerana kerajaan negeri menghampiri tarikh tamat mandat pemerintahannya.


Tanda PRU13 yang paling nyata akan dibuat Mac 2013 bila semua pembayaran beberapa bantuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2013 sedang rancak dilaksanakan. Antaranya bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0), Bantuan Khas Awal Persekolahan, Baucar Buku 1Malaysia dan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia.

Perdana Menteri tentunya tidak mahu membiarkan Menteri Besar Selangor mendahuluinya atau membiarkan Parlimen terbubar dengan sendirinya pada hujung April 2013.

Jika benar tarikh 22.2.2013 Parlimen dibubarkan. Penamaan calun dijangkakan pada 16.3.2013. Pengundian pula akan dibuat pada 30.3.2013. Tarikh pengundian ini bertepatan dengan cuti persekolahan. Tentunya Perdana Menteri mengambil kira semua ini bagi memudahkan SPR membuat persedian sebelum pengundian. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .