Ikuti Blog ini

PAS jamin kerjasama dalam Pakatan tidak rugikan Melayu

(Ustaz Hadi berucap di HKR PGU di Banggol Peradong semalam)

KUALA TERENGGANU: PAS mengulangi pendirian tegas bahawa kerjasama parti itu dalam Pakatan Rakyat bersama DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) tidak merugikan orang Melayu dan Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS akan meneruskan kerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR selagi dapat mempertahankan Melayu Islam.

Namun, katanya jika kerjasama itu merugikan Melayu dan Islam, PAS tidak ragu-ragu untuk keluar dari Pakatan Rakyat.

“PAS memberi jaminan kerjasama dengan parti Pakatan Rakyat dengan DAP, dengan KeADILan (PKR) selagi dapat mempertahankan Melayu Islam. Sekiranya kerjasama itu merugikan Melayu Islam, merugikan Islam…PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan tidak ada ragu-ragu lagi. Sehingga hari ini, kita (PAS) bersama Pakatan Rakyat.

“Apabila DAP, orang bukan Islam dalam Pakatan Rakyat menerima Islam sebagai agama Persekutuan, hak-hak agama lain diberi (kebebasan) hak dengan adil. Hak istimewa orang Melayu Bumiputera dan hak kaum lain (diberi) adil. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa ibunda diberi (kepada semua kaum). Raja mengikut Perlembagaan. Semua parti Pakatan Rakyat menerima perjanjian ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU) 7.0 di Kampung Banggol Peradong, Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu, Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ahli Parlimen Kota Raja Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran GK, Bendahari PKR Terengganu, Wan Ismail Wan Long dan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing. 

Datuk Seri Abdul Hadi menjelaskan PAS menerima hakikat kehidupan masyarakat dalam negara ini berbilang kaum.

Katanya, semua rakyat berbilang kaum yang terdapat dalam negara ini merupakan rakyat Malaysia.

“Kita (PAS) menerima hakikat kita (rakyat) adalah masyarakat majmuk. Semua rakyat pelbagai kaum adalah rakyat kita. Ini sudah jadi kenyataan yang tidak boleh dinafikan.

“Semua kaum menerima Melayu Islam adalah sebagai teras. Penganut semua agama menerima Islam yang ada dalam Perlembagaan. Tapi Umno tidak pandai hendak jaga Islam, apa hendak jadi dia (Umno) tidak peduli. Asal Umno menang sudah, Islam hendak jadi apa ikut sukalah. Yang halal diharamkan dan yang haram dihalalkan.

“Sebab itu, PAS mengadakan kerjasama dengan orang Islam dan bukan Islam dalam DAP dan dalam PKR,” ujarnya di hadapan 10,000 hadirin.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan PAS mengajar ahlinya berpolitik dengan mengabdikan diri kepada Allah serta tidak berkompromi dalam perkara halal dan haram.

“PAS mengajar berpolitik mengabdikan diri kepada Allah. Apa yang halal itu halal dan yang haram itu haram. Bukannya yang ada lesen halal dan yang tidak ada lesen itu haram,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ustaz Abdul Hadi turut menyangkal dakwaan Umno yang melabelkan PAS sebagai ‘kuda tunggangan’ DAP.

Sebaliknya, kata beliau, Umno telah lama menjadi kuda tunggangan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA, MIC dan Gerakan.

“Umno kata PAS jadi kuda tunggangan DAP. Umno sudah lama jadi ‘kuda tunggangan’ MCA, MIC dan Gerakan.

“Sedarkah kita (rakyat) apabila MCA kalah, MIC kalah, Gerakan kalah…Umno bagi kerusi (Parlimen) Melayu kepada MCA, MIC dan Gerakan. Umno sanggup bagi kerusi Melayu kepada orang lain demi dia (BN) mengekalkan kuasa memerintah negara. Dia (Umno) tidak kira bagaimana kekuatan politik orang Islam,” jelasnya.

Sertai PAS



(Datuk Mohamad Nazli disarungkan baju baru tanda menyertai PAS)

Pada himpunan tersebut Abdul Hadi menerima penyerahan borang keahlian menyertai PAS oleh bekas Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Mohamad Nazli Abdul Majid.

Datuk Mohamad Nazli, 62, berasal dari Perak yang kini menetap di Paka, Dungun berkelulusan Bachelor of Agriculture Science (Universiti of Tasmania, Australia) dan master of Science Agriculture, SHSU, Texas, USA.

Beliau bersara tahun 2006 yang pernah bekerja di Jabatan Pertanian tersebut selama 30 tahun iaitu 12 tahun sebagai Pengarah Projek Pembangunan Pertanian di Besut, dua tahun di Johor selaku Pengarah Johor Barat, tiga tahun di Melaka dan lima tahun di Kedah sebagai Pengarah Pertanian Negeri. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .