Ikuti Blog ini

Berjuang Hingga Ke Hujung Nyawa



Kota Bharu - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, tidak menghiraukan desakan supaya beliau meletakkan jawatan tetapi sebaliknya akan terus berkhidmat sehingga ke 'hujung nyawa'.

"Selagi saya bernafas, saya akan terus pegang jawatan dan memainkan peranan saya dalam membentuk Islam," katanya kepada media kelmarin sebagai menjawab pelbagai desakan, termasuk mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya beliau berundur.

Ketika pelbagai pihak mempertikaikan kemampuan beliau untuk terus mentadbir Kelantan, Tok Guru Nik Aziz terus mengulangi kenyataan akan tetap bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagaimana sebelum ini.

"Masalah siapa yang akan menjadi menteri besar selepas PRU13 nanti itu masalah kedua tetapi saya akan terus bercakap dalam Islam," katanya dilaporkan sebuah akhbar Singapura.

Sementara itu, ditanya siapa calon yang paling sesuai untuk menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara pada PRU13 nanti, Tuan Guru Datuk Nik Aziz menegaskan, paling penting individu itu adalah Islam.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, Tok Guru menang dengan majoriti undi yang lebih besar iaitu 4,249 undi dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar, di Dun Chempaka.

Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) telah menganugerahkan beliau sebagai menteri besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia.

Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan.

Selain itu, Datuk Nik Aziz mengakui beliau sememangnya bukan pemegang kunci pintu syurga sehingga boleh menilai dosa dan pahala seseorang.

Akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan Tok Guru Nik Aziz mengeluarkan "fatwa" bahawa sembahyang orang Umno tidak mendapat pahala dan usaha kerajaan membina masjid bukan sebahagian daripada ajaran Islam kerana hanya bertujuan mendapatkan kontrak. -BO
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .