KUALA LUMPUR:
Lebih 200 umat Islam hari ini berhimpun secara aman di hadapan Wisma
MCA, Jalan Ampang, bagi membantah kebiadaban Presiden MCA Datuk Seri Dr
Chua Soi Lek yang menghina agama Islam.
Mereka yang terdiri
daripada perbagai latar belakang termasuk wakil NGO Islam hadir bagi
menyatakan rasa tidak senang mereka dengan sikap MCA yang tidak
berhenti-henti menghina agama Islam.
Himpunan hari ini adalah
anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Dewan Ulamak PAS Pusat. Ia hanya
dirancang semalam oleh mereka dan berkumpul di sana hari ini.

Mereka membawa sepanduk dan poster mengecam tindakan pemimpin MCA itu yang didakwa tidak tahu menjaga sensitiviti umat Islam.
Ianya berikutan kenyataan Soi Lek yang menyerang Islam habis-habisan dan secara berterusan.
Terbaru, beliau mendakwa negara yang melaksanakan hudud adalah negara yang paling tinggi gejala rasuahnya.
Sementara
itu, PAS turut menggesa Soi Lek memohon maaf kepada seluruh umat Islam
di atas kata-kata penghinaan yang telah dikeluarkan beliau.
Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad yang turut mengetuai himpunan
itu berkata, pihaknya juga akan membawa isu itu kepada Yang di-Pertuan
Agong dan Majlis Raja-raja dalam masa terdekat.
"Kita mendesak supaya MCA memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan kita akan bawa isu ini kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Bagi kami, kalau MCA nak belajar Islam, jangan belajar dengan Umno, tapi belajar dengan PAS," katanya kepada wakil media.
Beliau turut mengecam sekeras-kerasnya kebiadaban Soi Lek yang
seolah-olah buta mata dan hati sanggup menghina agama Islam kerana
kepentingan politik.
"Allah sudah sebut jangan sekali-kali
engkau menghina berhala orang lain, tetapi MCA pula mengajar masyarakat
lain supaya biadap kepada Islam," katanya sambil diikuti laungan
takbir.
Beliau menyeru orang Melayu agar menolak MCA dan Umno dalam pilihan raya akan datang.
Seramai lima orang dilihat masuk menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil MCA di perkarangan pejabat pergerakan itu.
Selain
Ustaz Idris, turut mengiringi semasa penyerahan itu termasuklah
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil, Exco
Pemuda Adram Musa serta Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Turut serta dalam bantahan itu, pengarah, penerbit dan juga pelakon
terkenal Adam Hamid serta bekas pelakon terkenal siri Gerak Khas, Abby
Abadi.
Sementara itu Khairul Faizi melahirkan kekecewaan apabila rombongan
mereka untuk menghantar memorandum kepada Soi Lek hanya diterima oleh
Setiausaha Kerja Pemuda MCA.
"Bukan itu sahaja, kami hanya
dilayan di hadapan tangga bangunan ini , hari ini beliau sudah buktikan
beliau biadap," katanya dalam sidang media selepas selesai berhimpun.
Bahkan
katanya, jika MCA tidak memohon maaf kepada umat Islam negara ini dalam
masa satu minggu pihaknya akan mengadakan himpunan yang lebih besar
dari hari ini.
"Kami sanggup gadai nyawa kami demi Islam,"
tegasnya sambil menyifatkan MCA parti yang wajar ditolak oleh rakyat
dalam PRU-13 kerana mengamalkan sikap perkauman yang melampau.
Himpunan
yang berlaku hampir sejam itu turut mencuri perhatian awam dengan
laungan takbir, hidup Islam, hancur kezaliman, berulang kali oleh
peserta yang hadir.
-Hrkh