Ikuti Blog ini

Pemuda PAS gempur BN demi Anwar



Ketua Pemuda PAS mengarahkan anggota-anggota dewan itu "menggempur" BN bagi memastikan kemenangan tokoh utama PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Membentangkan ucapan utamanya di perasminan muktamar Dewan Pemuda PAS malam tadi, Salahuddin Ayub berkata pembabitan serius parti itu dalam pilihanraya ini sangat penting untuk membuktikan ia masih setia bersama Pakatan Rakyat.

Penglibatan itu penting, tambahnya, setelah PAS diberikan imej ingin bekerjasama dengan Umno dan BN dalam isu rundingan tertutup dengan presidennya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

"Pilihanraya ini amat penting bagi kita setelah minda rakyat terperangkap dalam permainan kotor BN dalam isu muzakarah baru-baru ini.

"Setelah PAS membuat keputusan tegas untuk menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan BN, inilah peluang terbaik untuk PAS membuktikan bahawa kita masih setia dengan Pakatan Rakyat," kata Salahuddin di penghujung ucapannya di majlis itu yang diadakan di stadium tertutup Indera Mulia, Ipoh.

"Saya dengan ini mengarahkan seluruh jentera Pemuda PAS di semua peringkat supaya turun menggempur Permatang Pauh bagi melenyapkan keangkuhan BN."

Tambahnya, Pemuda PAS akan membuka markas besar untuk menggerakkan jentera pilihanrayanya dan menggesa pergerakan itu "bekerja sepenuh hati untuk memastikan Anwar mencatatkan kemenangan besar" dan sekali gus merapatkan semula jentera Pakatan dalam menghadapi BN.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .