Ikuti Blog ini

Henti pertikai fatwa haram yoga


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa supaya pelbagai pihak berhenti daripada mempertikaikan fatwa pengharaman amalan yoga secara sistematik yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyokong fatwa tersebut dan berpendapat tidak ada masalah untuk mewartakannya di negeri ini kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Beliau berkata, kewujudan amalan seperti jampi yang digunakan dalam senaman menjurus kepada kaitan hubungan dengan tuhan adalah perkara yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

"Saya secara peribadi bersetuju dengan fatwa ini, saya rasa ia tidak masalah untuk diwartakan di sini... terpulang kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) untuk melaksanakannya. "Saya tidak tahu apa yang disebut dalam jampi yoga, tetapi disebabkan yoga ini datang daripada mereka yang tidak bertuhankan Allah, sudah pasti dalam jampi dia sebut nama benda lain," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai fatwa yang meminta umat Islam negara ini tidak mengamalkan senaman yoga secara sistematik yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mantera dan pemujaan.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, Majlis Muzakarah Kebangsaan memutuskan apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.

Semalam, Sisters In Islam (SIS) dilaporkan menolak keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan senaman yoga kerana tiada sebarang bukti dikemukakan bagi mewajarkan yoga diharamkan.

Pengurus Program SIS, Norhayati Kaprawi berkata, sehingga kini negara tidak pernah menerima apa-apa aduan atau bukti yang mengatakan ada individu beragama Islam bertukar kepada agama Hindu selepas mengamalkan senaman yoga.

Nik Abdul Aziz berkata, tidak ada ajaran dalam Islam melalui al-Quran atau hadis yang mengatakan senaman boleh menyatukan diri dengan tuhan. "Sebagai orang Islam, masing-masing mengetahui kekuasaan tuhan dan mengakuinya, jadi kenapa perlu sebut nama lain dalam jampi selain Allah. "Tuhan bukan manusia, kita bukan boleh berunding dan berbincang, apa jaminan kita ini (manusia) boleh bersatu dengan Allah?,'' katanya.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .