Ikuti Blog ini

PKR sedia 'tempur' Sarawak, Anwar terus beri harapan tubuh kerajaan



SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memulakan langkah drastik 'menggempur' Sarawak bagi memastikan pengaruhnya dapat menembusi negeri berkenaan bemula bulan hadapan.

Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rintihan dan kemahuan rakyat di Sarawak yang sangat inginkan perubahan sentiasa didengari dan akan diberi perhatian yang serius.

"Mudah-mudahan kita dapat menjana kekuatan yang lebih dan seruan rakan di Sarawak juga kita dengar dan kita sudah putuskan mulai bulan hadapan ahli-ahli Parlimen dan pimpinan PKR untuk 'bertempur' di Sarawak," katanya semasa menyampaikan Ucapan Khas Penasihat PKR di Kongres Tahunan Nasional ke-5 PKR di sini hari ini.

Anwar juga melahirkan keyakinan Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP akan terus bekerjasama bagi memastikan perubahan besar akan berlaku di Sarawak malah terus memberi harapan untuk membentuk kerajaan.

"Kita percaya pimpinan PAS dan DAP akan sama-sama membantu kita supaya kita saksikan perubahan besar di Sarawak dan mudah-mudahan ada juga perubahan besar lainnya yang akan berlaku di negara kita," katanya sambil disambut tepukan gemuruh penyokongnya.

Kongres berkenaan dihadiri oleh kira-kira tujuh ribu penyokong parti itu yang terdiri datipada 1927 perwakilan, 1200 pemerhati dan hampir empat ribu pemerhati terbuka yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata harapan seluruh rakyat masih tinggi untuk melihat perubahan dalam kepimpinan politik negara.

"Saya percaya harapan kita masih tinggi kerani kita janjikan perubahan walaupun perubahan ini masih belum capai sepenuhnya.

"Harus ingat, perubahan ini bukan untuk politik peribadi tetapi untuk tegakkan satu sistem yang bebas," katanya.

Tegas beliau walaupun perubahan kuasa masih belum berlaku pada 16 September namun semangat perjuangan yang diperjuangkan rakyat tidak akan tergugat walaupun menghadapi cabaran dari pelbagai pihak.

"Saya percaya walaupun dengan sepak terajang mereka tak mungkin akan gugat semangat kejituan dan kepahlawanan rakyat jelata," katanya.

Tambah beliau lagi, sentimen perkauman yang dimainkan Umno dan Barisan Nasional (BN) seolah-olah 'jaguh Melayu tulen' yang mempertahankan hak kaum Melayu.

"Padahal mereka sendiri yang melakukan pembohongan...merekalah pemimpin Melayu yang pecah amanah," katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata pakatan itu tidak akan sekali-kali mempertikaikan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kita janjikan suara rakyat...suara keramat. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan mengenai soal kedudukan bahasa Melayu, agama Islam, kuasa Raja-raja serta hak keistimewaan orang Melayu tidak akan kita pertikaikan," katanya.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .