Ikuti Blog ini

PRK Kuala Terengganu: Malapetaka buat BN, Mat Sabu calon favourite!


 PILIHANRAYA kecil (PRK) bagi kerusi Kuala Terengganu ekoran pemergian ke rahmatullah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail dijangka menjadi titik tolak sama ada keutuhan BN didalangi Umno mampu dipertahankan atau sebaliknya akan diketahui tidak lama lagi.

Walaupun bermacam-macam kaedah dan tolenrasi dipamerkan kepemimpinan BN untuk melembutkan hati rakyat selepas kekalahan teruk pada pilihanraya kebangsaan ke-12 lalu sehingga terpaksa menyerah Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor kepada Pakatan Rakyat,

Rakyat hari ini dikatakan masih menyimpan rasa sangsi keupayaan BN memerintah apatah lagi nada yang selama ini begitu lantang di Dewan Rakyat semakin hari semakin hilang dari pendengaran ramai kerana dibayangi kepetahan barisan pembangkang yang tidak memberi sedikit pun ruang untuk menteri kabinet dan anggota BN berasa selesa.

Tentunya ramai ternanti-nanti apakah PRK Kuala Terengganu bakal mencetus malapetaka lagi buat BN selepas tewas besar di Permatang Pauh? Tak kurang juga ada yang menganggap peluang BN mengekalkan kerusi tersebut semakin sukar bukan sahaja dibebani isu-isu kontroversi seperti kenaikan harga minyak dan barangan tetapi masih banyak urusan pembangunan di ibu negeri Terengganu ini gagal ditangani dengan baik malah mencetuskan fenomena rasa tidak puas hati warganya yang dikatakan sudah hilang kepercayaan kepada kepemimpinan BN.

Ada juga pendapat menyatakan bahawa PRK membuka ruang kepada Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu untuk mengadu untung nasib kembali bergelar YB selepas terpaksa menjadi penganggur kehormat apabila tewas tipis ditangan Razali Mac lalu.

Setakat ini, Mohamad Sabu dilihat calon favourite mewakili PAS biarpun ada cubaan pihak tertentu mahu menampilkan pemimpin lain.

Pada pilihanraya kebangsaan lalu, parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Razali, Mohamad Sabu dan Maimun Yusuf seorang nenek dan calon paling tua. Razali yang memperolehi 32,562 undi berjaya mengungguli kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 628 undi sahaja mengenepikan cabaran Mohamad Sabu (31,934 undi) dan Maimun (685 undi).

Dengan adanya pemimpin hebat berpidato seperti Mohamad Sabu di Dewan Rakyat nescaya suara Pakatan Rakyat dan rakyat Kuala Terengganu akan bergema lebih kuat lagi dan tidak hanya bergantung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Tuan Guru Abd Hadi Awang, Saifuddin Nasution, Mahfuz Omar, Salahuddin Ayob, Karpal Singh, Gobind Singh Deo, Teresa Kok dan Lim Guan Eng semata-mata.

Walaupun PRK dijangka berlangsung dalam tempoh 60 hari lagi, namun perkhabaran terbaru yang diterima menunjukkan golongan pengundi muda serta mereka yang berada 'diatas pagar' akan dilihat menjadi penentu kemenangan dan isu-isu semasa yang melanda negara termasuk harga minyak dan barangan akan terus menerus menjadi bahan kempen yang bakal bercambah tidak lama lagi.

{Tentu ramai terindu-rindukan untuk mendengar pidato Mohamad Sabu bergema semula dalam sidang Dewan Rakyat. Siapa yang tak kenal kepetahannya bercakap dengan hujah -hujah penuh berapi diselangseli usikan yang pasti tidak menjemukan suasana dewan.}

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .