Ikuti Blog ini

Antara Kelab Penyokong PAS (KKP) dan DAP



Melihat kepada iklim politik Malaysia kebelakangan ini, masyarakat bukan Islam tidak lagi ragu-ragu untuk menyatakan sokongan terhadap PAS. Ini jelas dapat dilihat semasa piliharaya ke-12, Mac lalu. PAS tidak lagi dilihat sebagai sebuah parti yang mengancam masyarakat bukan Islam.

(Walaupun UMNO lah yang sebenarnya menjadi batu penghalang utama orang bukan Islam untuk mengenali PAS). Tulisan kali ini penulis ingin melontarkan pandangan tentang peranan KKP dan DAP dalam kemenangan Islam (PAS).


Seperti kita sedia maklum, penglibatan DAP merupakan persefahaman Pakatan Rakyat atas dasar menegakkan Negara Berkebajikan. Maka atas dasar itu PAS bersedia menerima DAP dan DAP juga bersedia menerima PAS. Walaupun DAP agak sangsi dengan pendirian PAS terhadap isu Negara Islam, namun PAS jelas menunjukkan komitmen terhadap persefahaman ini.

(hakikatnya negara Islam itulah negara berkebajikan..) Walaupun kadangkala gelagat pemimpin DAP yang agak lantang menentang perlaksanaan hukum ’hudud’, namun sebagai rakan pakatan, PAS tidak mudah melatah. Mungkin penentangan ini adalah kerana kurangnya pemahaman mereka terhadap hukum tersebut dan kedudukan mereka sebagai bukan islam. Tetapi bagaimana pula UMNO yang menganut agama Islam menentang hukum tersebut?

KKP juga sama seperti DAP yang mana terdiri daripada masyarakat bukan Islam yang telah memilih PAS di dalam pilihanraya baru-baru ini. Namun yang membezakan KKP dan DAP ialah KKP dapat menerima perlembagaan PAS. KKP tidak menentang pembentukan negara Islam, malah menyokong penubuhan negara Islam. Jelas bahawa KKP berada di belakang PAS di dalam memperjuangkan isu tersebut.


PAS perlu agresif dalam membina kelab penyokongnya sendiri


PAS sebagai sebuah gerakkan Islam perlu memperkasakan kedua-dua komponen ini. Malah tumpuan harus diberikan kepada KKP. Oleh yang demikian, cadangan untuk menjadikan KKP sebagai salah satu dewan di dalam PAS merupakan satu cadangan yang ada asasnya. Penubuhan Kelab Penyokong Muda PAS pada 16 Nov baru-baru ini, merupakan langkah bijak bagi merapatkan lagi hubungan antara KKP dengan Dewan Pemuda. Diharapkan selepas ini pelbagai aktiviti dan program dapat dirancang untuk dilaksanakan bersama.

Seterusnya penulis berpendapat kenyataan akbar perlu diadakan berkaitan sokongan penuh dari KKP tentang isu-isu berkaitan hukum syari'ah, hudud dan negara Islam. Tunjukkan kepada UMNO, kalau mereka tak sokong perlaksanaan syari'ah, KKP sokong!

Akhirnya penulis berpandangan, PAS perlu mengukuhkan KKP dan mempertingkatkan persefahaman dengan DAP.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .