Ikuti Blog ini

Pakatan Rakyat Lengkap bersama Mat Sabu di Parlimen

 Walaupun pihak jawatankuasa PAS negeri belum memutuskan siapakah calon yang sesuai, walaupun jawatankuasa PAS pusat belum mengusulkan nama-nama calon yang layak, nama Mohamad Sabu telah bermain di bibir TG Nik Aziz.

Kelantangan beliau menjadi satu keperluan kepada PAS mahupun kepada Pakatan Rakyat untuk bersama-sama mendesak dan menghancurkan benteng Barisan Nasional di medan parlimen.

Kami begitu merindui kelantangan Mat Sabu di parlimen, yang juga seorang pemimpin berjiwa rakyat, yang juga seorang pemimpin yang turun padang pada setiap medan peperangan jalanan.




Pada PRU yang lepas, Mat Sabu hanya kekurangan beberapa ratus undi sahaja. Kemungkinan undi tersebut telah 'tercuri' oleh nek mun yang juga memperolehi beberapa ratus undi. Adalah menjadi satu resam untuk mencalonkan calon yang sama untuk pilihanraya kecil bersama azam baru, bersama kekuatan yang baru dengan kedudukan BN yang semakin hancur.


Kehancuran Barisan Nasional

Masih terngiang lagi di halwa telinga ini, bagaimana seorang bekas menteri kesihatan yang begitu bangga di atas prestasi seks khalayak umumnya, memperkatakan hal ehwal ketuanan melayu dan kekebalan raja-raja. Bagaimana seorang bekas menteri yang mempunyai aksi seks yang amat memalukan, kini berada dalam pucuk pimpinan sebuah parti komponen utama BN. Inikah sebuah BARISAN terbaik untuk dipertimbangkan ?

Apakah UMNO dan Barisan Nasional benar-benar melaksanakan agenda perubahan setelah memecat seorang menteri yang mengusulkan perubahan? Pemecatan Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan agenda perubahan yang diwar-warkan Umno hanya merupakan sebuah cerita retorik dan sinetron politik semata-mata.

Mukhriz pula cuba menjadi hero. Mungkin untuk memancing perwakilan dengan tindakan-tindakan yang berani sedangkan beliau mungkin lupa bahawa berani sahaja tidak cukup untuk perwakilan memilihnya sebagai ketua pemuda. Pada perwakilan, Mukhriz juga harus berani mengeluarkan 'ongkos' yang cukup dan sebaiknya melebihi 'ongkosnya' si khairy.

Oleh demikian, kepada para pengundi yang layak, kepada para pengundi hantu, fikir-fikirkanlah barisan pilihan. Pakatan Rakyat menjanjikan perubahan. Pilihlah dan undilah Pakatan Rakyat.

Berbalik semula ehwalnya calon P36 Kuala Terengganu. Mohamad Sabu adalah calon pilihan untuk mengukuh kekuatan PAS di arena parlimen, juga sebagai satu kelebihan yang besar terhadap Pakatan Rakyat secara keseluruhanya. Saya sokong Mat Sabu sepertimana beliau menyokong perjuangan setiap demonstrasi jalanan yang membawa kepada penangkapan beliau. Itu adalah credit yang harus dipertimbang.

Desas desus juga mengatakan bahawa YB Nasharudin Mat Isa akan mengepalai jentera pilihanraya kecil P36 Kuala Terengganu. Di manakah pengurusi jawatankuasa pilihanraya negeri Terengganu Mustafa Ali? Mengapa tidak beliau yang sepatutnya menjadi ketua jentera pilihanraya? Atau beliau bakal diletakkan sebagai calon P36?

Tidaklah mahu diulas lanjut sebelum perkara sebenar terungkai, sebelum calon sebenar diwartakan. Namun ingin saya tegaskan di sini, sekiranya PAS begitu berani untuk menurunkan Mustapha Ali sebagai pemain gantian, kemungkinan pasukan Pakatan Rakyat akan dibolosi dengan lebih banyak gol berbanding jaringan.

Dalam perlawanan bolasepak, sekiranya jumlah jaringan kurang daripada jumlah bolos, itu adalah satu ketewasan. Biarlah tewas dengan perjuangan, jangan tewas dengan terancang iaitu tewas sebelum perlawanan dimulakan.

Erdogan atau non-Erdogan, bukanlah sepatutnya jadi masalah. Siapa pun calon PAS, pasti akan mendapat sokongan padu Pakatan Rakyat. Tetapi pertimbangkanlah untuk tidak memilih Mustapha Ali. Pertimbang-taralah. Apa yang penting, pertambahan kerusi pembangkang di Parlimen adalah menjadi keutamaan. Bonusnya ialah, suara lantang Mat Sabu kembali di Parlimen.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .