"Kita bersetuju dengan cadangan supaya duta Amerika diusir sahaja dari negara ini tanda bantahan terhadap perilaku mereka yang menghalalkan tindakan zalim Israel."
ISU keganasan Isreal ke atas penduduk Gaza mendapat perhatian seluruh dunia. Berbagai bantahan dilancarkan sama ada dalam bentuk demonstrasi dan boikot barangan Amerika.
HARAKAH: Israel telah bersetuju untuk melakukan gencatan senjata. Itu pun setelah Hamas mencadangkannya dan perlu mematuhi beberapa syarat seperti Israel perlu meninggalkan bumi Palestin. Bagaimana sikap PAS dalam soal ini?
DATO' KAMARUDIN JAFFAR: Kita menyambut baik sebarang usaha damai atau gencatan senjata yang mahu dilakukan. Namun kita juga mengambil sikap untuk melihat sejauh mana kesungguhan Israel dalam melakukan gencatan senjata ini. Seperti yang kita tahu, sebelum ini pun sudah banyak kali Israel melanggar perjanjian demi perjanjian sehingga kita merasakan apa jua bentuk diplomasi yang cuba dilakukan seolah-olah telah tertutup akibat dari karenah Israel ini.
Tuntutan yang dibuat oleh Hamas itu perlu bukan sahaja dihormati bahkan perlu juga Israel akur kerana dari segi sejarahnya juga Israel telah menceroboh Palestin. Jadi, sepatutnya bukan sahaja di Gaza tetapi diseluruh negara Palestin itu, Israel perlu keluar dan Israel juga perlu menghormati keputusan rakyat Palestin yang telah memilih Hamas untuk membentuk kerajaan. Urusan memilih kerajaan itu adalah urusan rakyat Palestin bukan urusan Israel atau Amerika atau negara-negara lain.
Biarkan rakyat Palestin menentukan sendiri siapa yang mereka mahukan menjadi ketua negara mereka dan parti mana yang layak membentuk kerajaan. Seperti yang telah ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden ketika membahaskan usul di Gaza ketika mesyuarat tergempar Dewan Rakyat baru-baru ini, Hamas dipilih secara demokrasi yang mana sistem ini didokong dan disokong kuat oleh Amerika.
Pilihanraya di Palestin pada tahun 2006 itu adalah yang paling bersih dan adil. Pilihanraya itu diawasi oleh pasukan pemantau dari eropah dan juga dari Amerika iaitu dari Carter Centre. Kalau pilihanraya itu bersih dan adil, kenapa pula nak pertikaikan kemenangan Hamas?
Yang sepatutnya dipertikaikan oleh Amerika ialah Israel itu, yang tiada negara tetapi bertindak ganas menceroboh Palestin dan membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa. Jadi biarpun sudah dipersetujui agar dilakukan gencatan senjata tetapi pendirian PAS jelas, Hamas perlu diiktiraf bukan sahaja oleh Amerika tetapi juga oleh kerajaan Malaysia yaang dilihat lebih condong kepada Fatah.
Sebelum ini sudah banyak demonstrasi dilakukan sebagai bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap penduduk Gaza. Setelah gencatan senjata ini dipersetujui, apakah perlu demonstrasi ini dihentikan atau ia harus diteruskan?
Pada pandangan peribadi saya, biarpun gencatan senjata telah dipersetujui namun itu tidak bermakna sebarang demontrasi harus juga dihentikan. Demonstrasi yang diadakan sejak beberapa minggu lalu setiap kali selepas solat Jumaat bukan sekadar bantahan terhadap serangan Israel ke atas penduduk Gaza tetapi ia merupakan bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh rejim Zionis itu sejak 60 tahun dahulu.
Oleh itu demonstrasi perlu terus dilakukan supaya Amerika tidak semudahnya membenarkan Isreal berbuat sesuka hati terhadap Palestin dan Israel juga perlu melihat bantahan yang dibuat dari seluruh dunia ini sebagai penolakan terhadap apa yang mereka lakukan. Isreal dan Amerika mungkin boleh bersikap angkuh ketika ini tetapi ia tidak selamanya akan terus berkuasa.
Selain itu, demonstrasi besar-besaran harus tetap dilakukan agar Amerika mengiktiraf Hamas. Bantahan ini merupakan desakan kepada Amerika supaya tidak sewenang-wenangnya memberi restu kepada Isreal untuk terus menganyang Palestin. Presiden baru Amerika Syarikat, Barrcak Obama perlu melihat bantahan ini sebagai protes bukan hanya dari negara Islam tetapi negara-negara lain yang sudak muak dengan tingkah laku Israel.
Krisis berleretan selama enam dekad di bumi Palestin itu adalah antara krisis dan jenayah kemanusiaan teramat dahsyat dan antara yang paling menghanyirkan dalam sejarah moden. Sama sekali sanubari kita tidak terbayangkan bagaimana kanak-kanak, wanita dan golongan yang tidak berdaya berpanjangan menempuh ketakutan dan azab derita, di sana. Walhal Palestin pada satu masa merupakan wilayah yang penuh dengan sejarah janji dan kasih Tuhan untuk sekian manusia. Ini semua hanya pandangan peribadi saya bukan pandangan parti.
Bagaimana dengan kempen boikot barangan Amerika dan Yahudi. Pada pandangan Dato' adakah kempen ini berkesan dan perlu diteruskan?
Boikot barangan Amerika ini harus diteruskan. Biarpun ada yang beranggapan bahawa ia tidak akan memberi kesan tetapi setidak-tidaknya ia akan mewujudkan kepedulian dikalangan rakyat negara ini bahawa produk-produk yang dikeluarkan oleh Amerika yang dibeli itu merupakan dana yang membantu Israel untuk terus membedil Palestin.
Amerika perlu diajar dengan cara melemahkan atau melumpuhkan saja ekonominya. Seperti yang telah diperkatakan ramai, jika ekonomi Amerika lumpuh, maka bantuan terhadap Israel juga tidak akan mampu diteruskan. Ini merupakan kesedaran yang harus ada pada setiap rakyat negara ini. Kita tidak perlu gerun dengan Amerika atau tidak perlu terlalu bergantung harap dengan produk Amerika. Jika produk-produk ini tiada, ini peluang untuk anak tempatan mengeluarkan produk sendiri dan memasarkan bukan sahaj di dalam negeri tetapi juga di luar negara.
Tindakan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia, apakah sudah mencukupi atau perlu ditingkatkan lagi?
Setakat ini apa yang dilakukan oleh kerajaan memang mengecewakan. Sepatutnya sudah lama kerajaan memanggil duta Amerika, EU, Mesir dan Arab Saudi serta menyatakan bantahan secara rasmi kepada mereka terhadap apa yang dilakukan oleh Israel.
Kita bersetuju dengan cadangan supaya duta Amerika diusir sahaja dari negara ini tanda bantahan terhadap perilaku mereka yang menghalalkan tindakan zalim Israel. Sekali lagi perlu kita sedar bahawa tidak seharusnya kita gerun dengan Amerika.
Apa yang PAS tuntut dari kerajaan Malaysia supaya ia segera dilakukan dalam hal ini?
Seperti yang telah ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden sebelum ini, PAS sudah lama mengiktiraf Hamas. Jadi kerajaan Malaysia juga perlu mengiktiraf Hamas. Pengiktirafan kerajaan Malaysia ini bukan hanya setakat menyatakan di Parlimen tetapi perlu dengan cara memanggil wakil Hamas sebagai duta Palestin di negara ini. yang ada sekarang merupakan wakil dari Fatah.
Perlu kita ingat pada tahun 2006, dalam satu persidangan di Kuala Lumpur, kerajaan Malaysiaa menjemput wakil Fatah untuk memberikan ucapan sebagai wakil dari Palestin sedangkan ketika itu terdapat wakil Hamas dan kerajaan Hamas sudah dibentuk. Sikap kerajaan ini mengambarkan mereka tidak mengikitiraf Hamas.
Selain itu, kerajaan Malaysia hingga hari ini amat mengecewakan dari segi tindakan susulan. Kita sudah mencadangkan agar Malaysia mendesak negara-negara OIC mewujudkan sebuah pasukan ketenteraan dan memanggil persidangan tergempar OIC, kita boleh jadi tuan rumah. Tetapi nampaknya cadangan dari PAS tidak diendahkan. Apakah kita mahu menunggu lebih banyak nyawa terkorban di Palestin untuk kita memulakan satu tindakan proaktif.