IPOH, 2 Feb: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin hanya bertemu dengan Baginda Sultan Perak selama 10 minit sahaja pagi tadi bagi memaklumkan situasi yang berlaku di Perak sekarang.
"MB mengadakan pertemuan itu untuk memaklumkan tiga perkara iaitu situasi politik semasa di Perak, surat perletaan jawatan dua Adun dan kemungkinan pilihan raya kecil di negeri ini.
"Apabila Tuanku melihat surat perletakan jawatan kedua-dua Adun itu, saya difahamkan Tuanku berkata, kalau macam ini kena ada pilihan rayalah," beritahu Misbahul Munir Masduki, Setiausaha Politik MB Perak.
Misbah berkata demikian ketika ditanya apa yang diperkatakan antara MB Perak dengan Tuanku Sultan Perak dalam pertemuan mereka berdua pagi tadi.
Kata Misbah, MB Perak sudah beberapa hari memohon untuk menghadap Sultan dan diberitahu perkenan itu ketika MB sedang menyertai Syarahan Eksekutif yang diberikan oleh Datuk Dr Haron Din di Pejabat SUK Perak.
"Dia terus pergi ke istana dan keluar semula selepas 10 minit sahaja bertemu," kata Misbah.
Sebelum pertemuan itu, Tuanku Sultan bertemu dengan bekas MB Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.
Ketika ditanya, kenapa pertemuan itu ringkas sahaja, Misbah berkata "Tak tahulah tetapi biasanya pertemuan mingguan sebelum mesyuarat Exco kerajaan negeri yang panjang. Ini pertemuan untuk memaklumkan perkara tertentu sahaja."
Tengahari tadi pula, MB Perak makan tengahari dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediaman rasminya Residensi Menteri Besar Perak. Turut serta adalah Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.
"Selepas makan itu, MB berbincang secara empat mata dengan Datuk Seri Anwar lebih setengah jam," beritahu Misbah