Ikuti Blog ini

Medan Politik Perak Yang Bergelora – Timbalan Speaker Nafi Lompat, Najib Buat-buat Tak Tahu

http://buletinonline.net/images/stories/berita/perakbergelora1.gif
Kuala Terengganu – Misteri 'kehilangan' mengejut timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Hee Yit Fong telah mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan beliau melompat menyertai MCA.


Spekulasi tentang Hee, 46, yang merupakan Ahli Dewan Undangan (Adun) DAP bagi kerusi Jelapang semakin hebat apabila beliau juga tidak hadir dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin pagi semalam.

Justeru, pelbagai pihak termasuk media telah berusaha untuk menghubungi beliau melalui telefon bimbitnya tetapi tidak berjaya.

Debaran semakin kencang apabila dimaklumkan Hee akan menghadiri satu majlis anjuran MCA di Ipoh, malam tadi

Bagaimanapun, akhirnya misteri mengenai kehilangan Hee terungkai apabila pemimpin partinya berjaya menghubungi beliau lewat semalam.

Menurut Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, Hee telah menyatakan iltizam bahawa beliau tetapi menyokong DAP dan Pakatan Rakyat.

Ngeh Koo Ham mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Hee dapat dihubungi dan Adun Jelapang itu tidak melompat parti.

MCA Tidak Terima Wakil Rakyat Parti Lain

Dalam perkembangan yang sama, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat menegaskan tidak akan menerima wakil rakyat daripada parti lain yang ‘melompat’ berhasrat menyertai parti itu.

Beliau berkata MCA tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana wakil rakyat daripada apa-apa parti dalam usaha memujuk mereka menyertai parti itu.

"MCA merupakan sebuah parti yang ditubuhkan untuk masyarakat Tionghua di negara ini dan hanya menerima individu yang tidak pernah menganggotai mana-mana parti politik.

"Saya hanya menghadiri satu majlis sahaja malam ini dan tidak ada pertemuan lain...desas-desus yang mengatakan saya akan bertemu dengan Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri) DAP Perak adalah tidak benar," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Malam Mesra Media MCA Perak di sini malam ini.

Katanya yang dipetik agensi Bernama, beliau juga tidak pernah bertemu dengan mana-mana Adun DAP sebelum ini.

Ong diminta mengulas khabar angin yang bertiup kencang di sini bahawa MCA sedang memujuk seorang Adun DAP untuk menyertai parti itu dan perbincangan mengenainya telah diadakan sejak dua minggu lepas.

ADUN Tidak Dapat Di Hubungi 24 Jam, Dianggap Berhasrat Letak Jawatan

Mengulas perkembangan politik Perak yang bergelora, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, mana-mana ADUN DAP Perak yang tidak dapat dihubungi dalam tempoh 24 jam dianggap berhasrat meletakkan jawatan mereka sebagai ADUN.

Beliau berkata demikian kepada wartawan sebelum menghadiri Sambutan Kebudayaan dan Warisan, Tahun Baru Cina 2009, di Tapak Warisan Georgetown semalam.

“Berhubung dengan perkembangan di negeri Perak, dimana ia mempunyai kaitan dengan DAP, saya sukacitanya mengumumkan mana-mana ADUN DAP yang tidak dapat dihubungi lebih dari 24 jam, akan dianggap sebagai mempunyai keinginan untuk melepaskan jawatan mereka sebagai ADUN,”tegasnya.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, enggan mengulas apabila ditanya lanjut perkara berkenaan.

Najib Buat-buat Tak Tahu

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak berkata beliau tidak tahu berapa ramai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Rakyat (PR) di Perak yang akan menyertai Barisan Nasional (BN), namun berkata “ia akan berlaku”.

"Saya tidak tahu, kita akan lihat," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa beberapa ADUN PR akan menyertai BN.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pentas Studio Pengadunan Digital Perbadanan Filem Nasional (Finas) di Kompleks Merdeka Studio di sini malam ini.

Awal hari ini, Abdullah memberitahu pemberita bahawa beberapa wakil rakyat PR di Perak akan menyertai BN.

"InsyaAllah, ia akan berlaku. (Kita akan) terima mereka kerana ini pilihan mereka dan mereka mahu menyertai kita dalam perjuangan... ia akan merupakan satu pengalaman baru untuk mereka dan membenarkan mereka berpeluang untuk berkhidmat melalui BN," kata Abdullah




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .