Ikuti Blog ini

UMNO masih dalam sindrom menafikan




Ketika berucap, pemimpin-pemimpin Umno mengelak daripada menggunakan istilah Pakatan Rakyat, maka ternyata mereka masih berada dalam 'denial syndrome' atau sindrom menafikan bahawa mereka sedang ditolak rakyat. Sebab itulah dalam ucapan-ucapan pemimpin Umno dan disiarkan dalam akhbar-akhbar kawalan mereka, istilah Pakatan Rakyat dilarang daripada digunakan.

Sebaliknya mereka menggunakan istilah pakatan pembangkang. Sekurang-kurangnya mereka terima juga istilah pakatan yang menjadikannya suatu identiti untuk berbeza daripada Barisan Nasional (BN). Tetapi mereka memang enggan menggunakan istilah rakyat bagi menyebut pihak pakatan itu.

Perkara pertama, istilah pakatan pembangkang itu tidak tepat. Ia seolah-olah orang menyebut BN sebagai barisan kerajaan. Ini kerana BN tidak menguasai semua kerajaan negeri. Mereka tidak menguasai lima negeri. Di lima negeri itu, Pakatan Rakyat yang menjadi kerajaan. Maka istilah pakatan pembangkang adalah tidak tepat.

Tetapi hujah mereka adalah Pakatan Rakyat tidak didaftar tidak seperti BN, dan tidak mempunyai satu simbol. Apabila dikemukakan hujah itu, maka pemikiran BN itu cuba dilayankan terhadap Pakatan Rakyat, yang sebenarnya tidak tepat dan mengelirukan. Pakatan Rakyat sememangnya berbeza banyak segi daripada BN.

Hujah BN ini sebenarnya bertujuan melemahkan dan memecah-belahkan Pakatan Rakyat. Ini kerana mereka sebenarnya mencabar Pakatan Rakyat supaya mendaftar. Tetapi andai kata Pakatan Rakyat cuba mendaftar, pastinya akan ditolak atas pelbagai alasan.

Pada suatu masa dahulu, ada usaha untuk mendaftarkan Barisan Alternatif (BA) yang terdiri daripada PAS, DAP, KeADILan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Tetapi usaha ini gagal kerana pihak pendaftar pertubuhan menetapkan bahawa gabungan hendaklah lebih daripada suatu angka yang ditetapkan. Peraturan ini baru dan angka yang boleh dianggap sebagai satu gabungan boleh berubah mengikut kehendak mereka. Jadi BN boleh didaftar kerana bilangan parti di dalamnya adalah sekian dan sekian. Sementara parti di luar BN tidak boleh berbuat demikian kerana angkanya tidak mencukupi.

Maka segala usaha akan dibuat bagi menghalang Pakatan Rakyat didaftar. Maka kemudian akan dinyatakan bahawa Pakatan Rakyat gagal bersatu menubuhkan satu gabungan. Sedangkan dalam sejarah, Perikatan sendiri terdiri daripada hanya tiga parti iaitu Umno, MCA dan MIC. Boleh pula diluluskan. Begitu juga Front Sosialis yang merupakan gabungan Parti Buruh Malaya, Parti Rakyat Malaya dan Parti Konvensyen Malaya boleh pula ditubuhkan.

Andai kata Pakatan Rakyat benar-benar mahu didaftarkan, maka syarat bilangan parti itu boleh diperoleh. Ajaklah parti-parti kecil lain untuk menyertai Pakatan Rakyat, di Semenanjung Malaysia pun sudah banyak, apatah lagi bila dicampurkan dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Di Semenanjung, selain daripada PAS, KeADILan dan DAP, ajaklah parti-parti kecil yang menjadi sekutu Pakatan Rakyat seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Demokratik Malaysia (MDP), PRM yang dihidupkan semula, Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Hizbul Muslimin (Hamim). Sudah lapan parti, maka ia boleh melepasi syarat yang mungkin dikenakan oleh pihak pendaftar.

Simbol tangan dilarang

Tetapi andai kata Pakatan Rakyat hendak didaftarkan dengan bilangan parti yang mencukupi, adakah pihak pendaftar akan menerimanya? Ini bergantung pada menteri dalam negeri. Lihatlah betapa susahnya PSM hendak mendaftar. Setelah diluluskan pendaftarannya pula, ia menghadapi masalah simbol. Tangannya dilarang digunakan. Demokrasi apa? Itu tidak boleh, ini tidak boleh. Genggaman tangan pun tidak boleh.

Bagaimanapun, sememangnya dalam sejarahnya, pendaftar pernah mengganggu penggunaan simbol. PAS sendiri mengalaminya. Dahulu lambangnya adalah bulan sabit dan bintang. Ia menggunakan lambang itu dalam banyak pilihan raya.

Tetapi kemudian ia dilarang menggunakan simbol itu kerana simbol itu dianggap simbol agama Islam. Sedangkan hakikatnya apa salahnya? PAS sememangnya mempunyai dasar memperjuangkan Islam. Kalau Umno berasa mereka memperjuangkan Islam, maka tidak sejak tahun 1946 ketika penubuhannya, ia menggunakan simbol Islami. Ini tidak, mereka menggunakan simbol keris dan tali melingkar entah apa-apa maknanya.

Tetapi apabila PAS menggunakan simbol yang serupa dengan Islam, ia pula dipertikaikan. Maka PAS menggunakan simbol bulan purnama yang ada sekarang. Bukannya simbol yang boleh membawa kemenangan kepada PAS. Dengan simbol bulan sabit dan bintang, PAS hanya berupaya menawan Kelantan dan Terengganu pada tahun 1959.

Tetapi dengan simbol bulan purnama, ia berjaya bukan saja menang di Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi menubuhkan kerajaan campuran di Perak dan Selangor. Tetapi dalam hal ini banyak pihak yang tidak memahami konsep pakatan dengan barisan.

Pakatan itu bermaksud muafakat di mana anggotanya adalah sama taraf dan pelaksanaan tindakan politik adalah berdasarkan pegangan atas asas-asas yang boleh dipersetujui. Soal ideologi yang berbeza tidak digabungkan tetapi menjadi identiti parti masing-masing. PAS, DAP dan Keadilan menghormati ideologi masing-masing dan tiada paksaan ke atas satu sama lain.

Sedangkan barisan pula dikuasai dan didominasi oleh sebuah parti utama di mana yang lain terpaksa menuruti, walaupun boleh bersuara tetapi tidak boleh berunding di atas kedudukan yang serupa. Begitulah BN yang didominasi dan dikuasai oleh Umno. Sedangkan pada asalnya kerajaan campuran Perikatan-PAS dan Perikatan-Gerakan adalah merupakan pakatan. Tetapi setelah berkuasa pada tahun 1974 ia dikuasai penuh oleh Umno. Malah PAS sendiri tidak boleh menentukan calon menteri besar negeri yang ia miliki majoriti. Akibatnya PAS keluar barisan.

Asal usul konsep barisan dalam politik adalah datangnya daripada strategi pihak komunis pada masa Perang Dunia Kedua. Maka Stalin menubuhkan barisan bersatu dengan parti-parti bukan komunis untuk menghalang pihak fasis. Tetapi dalam realiti yang menguasainya ialah parti komunis dan apabila sudah menang, parti lain dipinggirkan dan hanya tinggal nama. Ini berlaku di banyak negara yang menjadi komunis seperti di Korea Utara, Eropah Timur, malah di Rusia dan China sendiri.

Maka pada tahun 60-an, konsep barisan ini turut digunakan oleh Parti Buruh dan Parti Rakyat dalam Front Sosialis. Tetapi barisan ini gagal kerana ada pihak yang mahu mendominasi barisan itu. Isunya adalah soal bahasa kebangsaan. Maka barisan ini pun tumbang.

Ini berbeza sendiri dengan Perikatan yang di dalamnya adalah Umno. Pada asalnya, ia merupakan perikatan yang agak hampir dengan Pakatan. Malah istilah "Alliance" dalam bahasa Inggeris digunakan untuk Pakatan dan Perikatan. Tetapi sebenarnya kedua-duanya membawa makna berbeza. Ikatan dan pakatan membawa huraian berbeza.

Tetapi apabila BN ditubuhkan, konsep Perikatan sudah hilang kerana dalam Barisan, terdapat parti yang menjadi ketua dan dominasi iaitu Umno. Apabila sudah faham mengenai gagasan ini, maka sudah tentu Pakatan Rakyat mempunyai konsep yang lebih baik daripada Barisan. Walaupun buat masa ini, Anwar Ibrahim dianggap sebagai ketua Pakatan Rakyat, tetapi ia lebih sebagai penyatu dan jurucakap, tetapi bukannya menguasai Pakatan Rakyat keseluruhannya.

Kuasa pada pakatan datangnya daripada rakyat. Pakatan membezakan antara parti, kerajaan dan rakyat dan berperanan menurut kedudukan masing-masing yang sah. Sedangkan Umno pula keliru, ia menyamakan Umno dengan BN, dan parti dengan kerajaan. Sebab itulah projek kerajaan pun dinamakan projek kerajaan Barisan Nasional. Sedangkan ia adalah projek rakyat yang diuruskan oleh kerajaan bagi pihak rakyat.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .