KUCHING, 13 April:  Sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak  didakwa sudah dalam genggaman Pakatan Rakyat manakala 11 kerusi lagi  boleh jatuh bila-bila masa kepada Pakatan.
Dari 71 kerusi yang  dipertandingkan, BN pula setakat ini didakwa hanya selesa di 43 kerusi,  kata Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media  PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS, di Matang Jaya di sini.
Beliau  yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP) berkata,  biarpun maklumat itu hanya sekadar pandangan pemerhati politik, namun  ianya sesuai dengan sokongan masyarakat terhadap Pakatan Rakyat setakat  ini.
Maka tidak hairanlah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri  Najib Razak begitu bimbang sehingga beliau terpaksa turun sendiri  berkempen di Sarawak.
"Najib memang tergugat, saya mendapat  maklumat BN hanya boleh menang 43 kerusi yang mana mereka rasa  betul-betul selamat. 17 kerusi milik pembangkang manakala 11 lagi jadi  pertarungan sebenar," katanya.
Turut serta pada sidang media itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.
Keadaan  itu juga jelas beliau menyebabkan Najib kini seperti hilang kepercayaan  kepada timbalannya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi  jentera pilihan raya BN.
Ianya juga ditambah dengan faktor  kebencian rakyat terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
"Hampir  seluruhnya kekayaan negeri ini dibolot secara rakus bukan sahaja oleh  dirinya (Taib), tetapi juga oleh suku sakatnya, abang, adik, ipar dan  menantu.
"Maka amat wajar Najib kalau berani menyatakan siapa pengganti Taib Mahmud dalam masa terdekat ini.
"Ataukah ini mainan Najib, atau mainan Muhyiddin dengan Taib Mahmud untuk mensabotaj Najib,"soalnya lagi.
Kebangkitan  rakyat pada pilihan raya Sarawak kali ini dapat dilihat dengan jelas  apabila penyertaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini disambut bagai  menatang minyak yang penuh.
Ceramah-ceramah Pakatan Rakyat juga  turut mendapat sambutan luar biasa khususnya masyarakat Cina, apatah  lagi dengan kehadiran pemimin utama PAS, PKR dan DAP seperti Tuan Guru  Datuk Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar  Ibrahim dan Lim Kit Siang.
Keadaan itu menyebabkan BN kini tidak  senang duduk dan mula menumpukan kepada kawasan pedalaman yang mempunyai  penduduk majoriti Melayu, Melanau dan Iban.
"BN kini sedang memperkemas bala tentera, bukan jentera tetapi wang ringgit mereka,"kata Dzulkefly lagi.
Pada  pilihan raya negeri Sarawak kali ini, semua kerusi ditandingi  pembangkang termasuk Pakatan Rakyat iaitu PKR 47 kerusi, DAP 15 dan PAS  5, manakala Snap bertanding di 27 kerusi. -Hrkh
 

 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
