(Ustaz Abdul Hadi bersama pemimpin PAS Sarawak di samping calon PAS Beting Maro, Abang Mat [kanan sekali] di Pusa Hulu, Beting Maro)
BETING MARO, 13 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan  Guru Abdul Hadi Awang memberi jaminan bahawa mana-mana Dun yang  dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya negeri (PRN) Sarawak akan dijadikan  Dun angkat PAS pusat.Jaminan itu dinyatakan beliau dalam satu ceramah di sini malam tadi.
"Yang  mana, Dun tersebut akan dijadikan sebagai model yang akan memangkinkan  kemasukan PAS ke Sarawak dan Sabah dengan lebih meluas lagi,"katanya.
(Gambar: Bukan guna helikopter tetapi hanya dengan sampan untuk bertemu pengundi)
Sementara  itu, semalam beliau juga telah menghubungi menerusi telefon kesemua  calon PAS yang bertanding di lima Dun di sini iaitu di Beting Maro,  Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjung Datu.
Selain bertanyakan khabar kepada calon, beliau turut memberikan kata nasihat dan motivasi.
Antara  lain, beliau menasihatkan agar calon meneruskan usaha mendekati rakyat  dan tetap dalam perjuangan biarpun wujud usaha pihak tertentu menawarkan  ganjaran agar calon menarik diri.Sebelum  ini, Wakil Calon PAS Tanjong Datu, Syed Abdul Rahman telah membuat  laporan polis ekoran tindakan pihak-pihak tertentu memujuk calon PAS di  itu, Hani Sahari menarik diri.
Yang amat dikesali adalah  panggilan itu antaranya dari dari nombor telefon yang kemudiannya  dikenalpasti dari Bukit Aman sendiri.
(Gambar: Ustaz hadi di sambut orang ramai setibanya di Pusa Hulu)
Kepada  jentera pula, Ustaz Hadi menyeru agar mereka membantu calon dalam usaha  bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan Dun masing-masing.
Hari ini masuk hari ke lapan kempen pilihan raya di sini yang masih berbaki dua hari sebelum hari pembuangan undi 16 April ini.
Di fasa terakhir ini, parti-parti yang bertanding dilihat makin agresif menjalankan kempen mereka.
Hari  ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sendiri dijanga akan turun  berkempen di Dun Sebuyau di mana PAS meletakkan Pesuruhjaya PAS Sarawak,  Hj Adam Ahid sebagai calon mereka menetang calon BN Julaihi Narawi.
Sementara itu, Abdul Hadi membuat rayuan khas kepada rakyat Sarawak menjelang hari mengundi 16 April ini. Berikut adalah rayuan beliau.
Rayuan Presiden PAS kepada rakyat Sarawak
Saya  percaya bahawa sudah tiba masanya untuk seluruh pengundi di Sarawak,  yang mengandungi berbagai resam budaya dan etnik, agama, untuk bersama  dengan PAS dan Pakatan Rakyat bagi melakukan satu perubahan yang jelas  dalam pilihan raya kali ini dengan satu mesej yang paling jelas, iaitu :  Marilah Kita Berubah Dengan Menolak Barisan Nasional (BN) Dalam Pilihan  Raya Kali Ini.Cukuplah  negeri Sarawak yang kaya dengan hasil bumi ini dipergunakan oleh BN  selama puluhan tahun dengan meminggirkan rakyat sejak sekalian lama. 
Janji  dan rasuah politik oleh BN sepanjang tempoh pilihan raya ini akan terus  diulang-ulang oleh pemimpin BN untuk mereka mengekalkan kuasa dan  seterusnya mengumpulkan kekayaan untuk diri mereka sendiri. 
Akhirnya  nasib rakyat masih tidak berubah sejak puluhan tahun ini.  PAS akan  memastikan konsep Federalisma terus dipelihara, dan perpaduan kaum akan  menjadi keutamaan di negeri Sarawak ini.
PAS merayu kepada  pengundi di Sarawak untuk memilih calon dari PAS dan Pakatan Rakyat  dalam pilihan raya kali ini.  PAS akan memastikan wakil rakyat dari PAS  nanti akan berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada rakyat, membawa aduan  dan suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk melakukan sau  perubahan bersama rakyat Sarawak.
Sekiranya menang di DUN Beting  Maro, Sadong Jaya, Tanjung Datu, Muara Tuang dan Sebuyau dalam  pilihanraya kali ini, PAS akan memastikan kawasan ini dibela dengan  menjadikan DUN ini sebagai kawasan contoh di Malaysia, di mana seluruh  petugas PAS akan menyumbang tenaga secara langsung di sini nanti. 
Di  sinilah nanti PAS akan menunjukkan contoh Keadilan Islam Untuk Semua  Golongan di negeri Sarawak tanpa mengira anutan agama dan keturunan.   Itulah sebenarnya wajah Islam yang ingin kami bawa.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS.
 

 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
