KOTA BARU - Kerajaan negeri akan menggunakan percaturan politik terlebih dahulu sebelum membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah meskipun dicabar oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
“Kalau Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) sebagai pengasas Petronas kata royalti adalah hak dan ihsan adalah pelanggaran terhadap perjanjian, siapalah Nazri?” soal Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Bulan lalu Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa Kelantan tiada hak untuk mendapatkan royalti, sebaliknya boleh menerima wang ihsan.
Bagaimanapun baru-baru ini beliau mencabar Kelantan membawa isu itu ke mahkamah.
Husam berpendapat hujah di luar mahkamah akan memberi satu impak lebih besar yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menghukum tindakan kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.
“Biarlah penghakiman rakyat mengambil tempat terlebih dahulu,” kata Husam.
Selain itu, bagi Husam, sekurang-kurangnya subjudice tidak menjadi benteng memagari gerakannya daripada terus bercakap tentang penganiyaan kerajaan persekutuan dalam isu ini setelah ia menjadi kes mahkamah.
Kelmarin Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjawab cabaran Nazri berkata, kerajaan PAS Kelantan bersedia membawa kes tersebut ke mahkamah sekiranya gagal melalui rundingan.
Husam yang juga Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri berkata usaha ke arah itu semakin mantap dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak antaranya penubuhan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar).
Gegas ditubuhkan oleh Gabungan Badan Bukan Kerajaan Kelantan dan Majlis Pemuafakatan Rakyat Negeri Terengganu.
Ia sudah pun menyusun pelbagai program siri penerangan kepada rakyat berhubung isu tuntutan berkenaan.
Difahamkan, bekas pengerusi Petronas Tengku Razaliegh Hamzah dijangka akan turut serta dalam sesi tersebut.
Kerajaan negeri membuat tuntutan royalti minyak pada awal tahun ini selepas menerima laporan Bank Data Malaysia 2007 yang menyenaraikan Kelantan sebagai negeri utama dalam industri petroleum bersama Sabah dan Terengganu.
Sehubungan itu kerajaan negeri telah mengirim surat rasmi kepada kerajaan pusat bagi tujuan tersebut sebanyak dua kali namun tiada sebarang jawapan sehingga pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan untuk memberi wang ihsan.