Ikuti Blog ini

Negeri Lain Menghargai SRAB Tatkala Terengganu Menguburkannya

http://buletinonline.net/images/stories/berita16/SRAB2.jpg

KUALA TERENGGANU - Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Terengganu yang dibangunkan semasa kerajaan PAS memerintah, telah ditutup ‘secara rasminya’, bersama berakhirnya penggal persekolahan tahun 2009 baru-baru ini.

Dengan itu, pihak-pihak yang ‘cemburu’ dengan penubuhan sekolah tersebut, kini bolehlah menarik nafas lega, kerana dapat menghapuskan saki baki peninggalan yang menjadi bukti kejayaan kerajaan PAS (1999 – 2004).
Antara yang ‘sinis’ terhadap penubuhan SRAB adalah Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Awal-awal lagi, pada 16 Januari 2002, GPMS dalam satu kenyataan yang disiarkan sebuah akhbar, telah memberi persepsi yang ‘serong’ terhadap SRAB.

Berita yang bertajuk ‘GPMS bimbang nasib murid SRABT’, telah menakut-nakutkan ibu bapa dan masyarakat, supaya mereka tidak menghantari anak-anak ke sekolah berkenaan.

Selain itu, kesumat dan dendam Umno dan Barisan Nasional (BN) terserlah apabila, satu demi satu usaha murni Kerajaan PAS dikhianati, termasuk bidang pendidikan.

Apabila kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke 11 pada 21 Mac 2004, kerajaan BN Terengganu diketuai Dato’ Seri Idris Jusoh telah menghentikan pengambilan pelajar SRAB bermula tahun 2005.

Tindakan tersebut menjadikan kumpulan terakhir pelajar yang berdaftar pada 2004, menamatkan pembelajaran pada tahun 2009.

Pengganti Idris, Dato’ Ahmad Said mengikuti jejak Idris, meneruskan keputusan mahu menguburkan SRAB dan polisi Idris menghentikan pengambilan pelajar, tetap dilaksanakan.

Jawapan yang diberikan oleh Exco berkenaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu, berkenaan penutupan SRAB, hanyalah merupakan alasan-alasan bagi menghalalkan tindakan ‘bobrok’ kerajaan Umno/BN Terengganu.

Ia terbukti kerana negeri Johor yang juga di perintah Umno/BN begitu menghargai SRAB yang beroperasi dinegeri itu.

Di Johor, terdapat lapan buah SRAB, yang mana setiap satu daerah mempunyai sebuah sekolah. SRAB adalah milik kerajaan negeri Johor dan pentadbirannya di bawah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Negeri Johor.

SRAB Johor telah ditubuhkan lebih 11 tahun lalu, diberikan kemudahan mempunyai bangunannya sendiri. Sebagai contoh SRAB Kota Tinggi terdapat 30 orang guru dengan hampir 400 orang murid.

Sesi persekolahan SRAB Johor bermula jam 7.45 hingga 4.30 ptg. matapelajaran yang diajar meliputi semua subjek KBSR dan KBSA (Kurikulum Baru Sekolah Agama Johor) seperti tauhid, akhlak , ibadat, sirah , jawi , Al-quran, PAQ (tafsir), dan beberapa lagi.

SRAB di negeri Johor telah berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang UPSR terutamanya SRAB Muar yang saban tahun melahirkan paling kurang 20 orang mendapat 5A dalam UPSR. begitu juga SRAB daerah lain.

Justeru, penutupan SRAB Terengganu tetap ‘ditangisi’ oleh bekas-bekas pelajar dan mereka yang terlibat dengannya.

Seorang bapa pelajar, Mohamad Ali, 40, menyifatkan penutupan sekolah SRAB di seluruh negeri ini sebagai satu peristiwa malang dalam pendidikan negara.

Katanya, prestasi para pelajar SRAB setanding dengan sekolah-sekolah rendah kelolaan kerajaan pusat malah lebih baik dalam pencapaian Ujian Penilaian Sijil Rendah (UPSR).

“Saya rasa penutupan SRAB ini hanya kerana sekolah ini diwujudkan oleh kerajaan PAS Terengganu waktu itu dan usaha menghapuskan jasa PAS melalui penutupan SRAB.

“Jemaah IbuBapa dan Guru di sekolah ini pun tidak setuju SRAB ditutup tetapi kerajaan negeri ‘berkeras’ tidak mahu meneruskan,” jelasnya.

Seorang lagi bapa pelajar, Abdul Razak Wahab, 46, berkata pencapaian di SRAB jauh berbeza dan mempunyai prestasi pelajaran yang sangat cemerlang.

“Anak saya sudah boleh menguasai bacaan jawi dengan baik dan boleh menyebut banyak perbendaharaan kata bahasa Arab, selain boleh membaca frasa-frasa pendek bahasa Quran itu.

“Jika bidang pelajaran yang selama ini dianggap sukar oleh semua orang dapat dikuasai apalah sangat dengan kemahiran menulis, membaca dan mengira bahasa ibunda sendiri.

“Kemampuan menguasai bahasa Inggeris di sekolah ini juga lebih baik. Saya amat bersyukur kerana anak-anak saya di sekolah biasa hanya ketika Tahun Empat atau Tahun Lima baru boleh membaca,” ujarnya.

Seorang bekas pelajar SRAB yang memperolehi keputusan 4A 1B dalam Ujian Pemilaian Sekolah Rendah tahun 2009 turut mempersoalkan keputusan kerajaan.

Ia jelas dinyatakan melalui catatan dalam blognya seperti dibawah;

Aku adalah seorang pelajar tahun enam di Sekolah Rendah Agama Bersepadu yang nama ringkasnya SRAB. Sekolah ini di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu(JHEAT).Keputusan UPSR alhamdulillah,aku telah berjaya mendapat 4A 1B(sains).

Walaupun aku tidak berjaya mendapat 5A,namun aku tetap bersyukur . Rakan-rakan dan guru telah mengucapkan tahniah kepada kejayaan itu.Aku hanya mampu tersenyum dan berkata'terima kasih dan tahniah juga kepada guru yang telah sama-sama bersusah payah untuk memperolehi kejayaan ini.

Dua rakan karibku K*****h dan A***a telah berjaya mendapat 5A.Tahniah kepada mereka berdua.

Apa yang aku ingin sampaikan di sini ialah mengenai sekolah aku akan ditutup dan tiada lagi sesi pembelajaran pada tahun depan. Apalah malang nasib sebuah sekolah agama yang telah berjaya dengan cemerlang pada tiap tahun keputusan UPSR dikeluarkan.

Tahun ini kejayaan sekolah SRAB ini telah keluar disuratkhabar . Kejayaan seramai 21 pelajar mendapat 5A dan 21 pelajar lagi memperolehi 4A dan 1B.

Sepatutnya sekolah agama rendah ini diteruskan demi masa depan anak-anak melayu Islam.

Untuk rekod, SRAB diperkenalkan semasa Kerajaan PAS Terengganu bertujuan memberi pendidikan asas kurikulum Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan akademik Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada semua kanak-kanak Islam di negeri ini.

Hasrat kewujudan sekolah berkenaan untuk melahirkan pelajar yang berilmu dan berakhlak mulia, kukuh dalam nilai-nilai Islam bagi mencapai muslim yang bertaqwa dan mendapat keredhaan Allah.

Sebanyak enam buah SRAB berjaya diwujudkan iaitu Khairiah, Kuala Terengganu; SRAB Al-Falah, Kemaman; SRAB Sultan Ismail, Dungun; SRAB Mahmudiah, Kuala Berang; SRAB Maarif, Besut dan SRAB Ittifakiah, Jertih.

Syarat kemasukan ialah pelajar atau bapa dilahirkan di negeri Terengganu berumur tujuh tahun pada tarikh pengambilan manakala tempoh pengajian selama enam tahun dan masa belajar bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.

Mata pelajaran KBSR yang diajar ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan seni dan Pendidikan Jasmani. Manakala Kurikulum Bersepadu Sekolah Agama (Arab dan Agama) pula terdiri daripada al-Quran, Tauhid, Ibadah, Akhlak, Tulisan Jawi, Sirah dan Tajwid.

Meski pun Kerajaan PAS yang menubuhkan SRAB, namun tidak semua ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah tersebut terdiri di kalangan penyokong parti itu.

Bahkan, ramai juga di kalangan orang Umno yang cerdik turut berbuat demikian kerana percaya akan kebaikan dan keunggulan kurikulum SRAB yang sebelum itu sangat ditunggu-tunggu oleh masyarakat di negeri ini dalam pendidikan anak-anak mereka.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .