Ikuti Blog ini

Gugurkan Razali Ibrahim, Bukti Jelas Bahawa Najib Cuba Menghina Pemuda UMNO Pimpinan Khairy Jamaluddin Sebenarnya !!

Apa sudah jadi dengan Pemuda UMNO Malaysia agaknya. Sudahlah Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin (foto) tidak dilantik ke jawatan dalam kabinet Najib sebelum ini. Kini tamparan yang lebih besar terjadi apabila Naib Ketua Pemuda UMNO, Dato' Razali Ibrahim (Ahli Parlimen Muar) pula digugurkan oleh Najib.

Dalam pengumuman mengejut yang dibuat semalam, Najib dilihat begitu terdesak untuk menarik kembali sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang. Mungkin dek kerana beliau tercabar dengan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II kepada pemimpin kaum Cina maka Najib terpaksa melakukan demikian.

Semalam, Najib mengumumkan rombakan terbaru kabinetnya dengan melantik lebih ramai "bukan wakil rakyat" mendapat tempat. Malah, apa yang lebih menarik lapan daripada yang dilantik itu adalah pemimpin kaum Cina dan hanya satu sahaja pemimpin Melayu yang mendapat tempat iaitu Datuk Rohani Abdul Karim.

Itu pun beliau bukanlah muka baru, cuma dipindahkan dari portfolio lamanya selaku Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Maknanya, beliau bukanlah muka baru pemimpin Melayu yang diangkat oleh Najib. Soalnya sekarang, kenapa Najib terdesak menarik "bukan wakil rakyat" dan "bukan Melayu" menganggotai kabinetnya kali ini?. Apakah salah dan dosa pemimpin Melayu dalam UMNO sehingga individu seperti Dato' Razali Ibrahim itu sendiri pun telah diterajang keluar dari kabinetnya?.

Tindakan Najib ini jelas sekali beliau bukan lagi berhasrat untuk membela Melayu seperti yang dicanang-canangkan selama ini. Apa yang penting adalah untuk mengekalkan kuasa yang sudah menghampiri penghujungnya itu. Tindakan menggugurkan Razali Ibrahim (foto) dilihat satu langkah "kurang bijak" yang dilakukan oleh PM Najib sebenarnya.

Tambahan pula, Razali dilihat sebagai proksi rapat Mukhriz iaitu anak kepada sifunya, Mahathir Mohamad. Mengugurkan Razali umpama menghina Mukhriz. Mengugurkan Razali juga bermakna "menghina" Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia secara keseluruhannya. Bayangkan, tidak pernah terjadi dalam sejarah tidak ada seorang pun pemimpin utama Pemuda UMNO yang tidak berada dalam kerajaan.

Hanya yang tinggal ialah Mukhriz, selaku Timbalan Menteri. Namun, harus diingat Mukhriz bukanlah pemimpin kanan Pemuda UMNO Malaysia sekarang ini. Maknanya, langkah mengugurkan Razali memberi isyarat jelas bahawa Najib tidak boleh lagi berkompromi dengan sayap kanan UMNO itu. Bayangkan, Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda kini tidak ada lagi suara dalam kabinet Malaysia.

Apakah maknanya semua ini?. Ia jelas merupakan satu tindakan "biadap" untuk menjatuhkan maruah dan imej Pemuda UMNO dibawah kepimpinan Khairy Jamaluddin. Sebelum ini, ramai yang menyebut bahawa Khairy kemungkinan diangkat sebagai Menteri atau Timbalan Menteri. Namun, spekulasi itu langsung tidak menarik minat Najib untuk membawa menantu Pak Lah ke dalam kabinetnya.

Apakah Khairy sedar akan senario ini. Jika beliau sedar, kenapa harus berdiam diri dan tidak melakukan tindakan. Mana perginya pemimpin Pemuda UMNO yang beriya-iya benar mahu membela Melayu dan Islam itu. Apakah mereka tergamak merelakan pemimpin utama mereka dipinggirkan sedemikian rupa.

[Anehnya, dalam keadaan Najib menghina Khairy Jamaluddin ini beliau pula mengangkat bekas pemimpin pemuda keadilan sebagai Senator iaitu Ezam Md Noor. Ini bermakna, Najib lebih mengutamakan orang luar daripada pemimpin Pemuda UMNO itu sendiri.

Bukankah ini sesuatu yang amat melucukan sebenarnya, malah ramai yang melihat Ezam berupaya untuk mencabar Khairy dalam pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO pada masa akan datang.

Najib sebenarnya sudah tidak yakin lagi kepada Pemuda UMNO, Wakil Rakyat UMNO dan semua pemimpin utama parti untuk bersamanya dalam kabinet baru beliau itu. Apa yang jelas, beliau lebih berselera untuk menagih simpati kaum Cina agar kembali menyokong BN dalam pilihanraya umum akan datang]. -Pahang Daily
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .