KOTA  BHARU, 2 Jun: Kerajaan  Kelantan telah  bersetuju untuk mengadakan kuliah khas pagi Jumaat, 4  Jun ini berkaitan  tindakan ganas dan tidak bertamadun rejim Israel ke  atas konvoi  kemanusiaan Gaza, Isnin lalu.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kuliah   mingguan itu akan diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV   dan akan turut diadakan solat hajat serta bacaan Qunut Nazilah di tempat   yang sama.
“Saya berharap kerjasama semua pihak, muslimin dan muslimat agar  dapat  hadir beramai-ramai sebagai tanda kita mengutuk tindakan zalim  Israel  dan sama-sama memanjatkan doa kepada Allah demi keselamatan,  keamanan  dan kesejahteraan umat Islam dari kerakusan Yahudi Israel ini,”  katanya  dalam satu kenyataan.
Majls Agama Islam Kelantan turut disarankan agar mengarahkan semua   masjid dapat menunaikan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah serta   menyediakan teks khutbah khusus bagi  mengutuk kekejaman Israel, Jumaat   ini.
Beliau turut membidas tindakan terkutuk tersebut sambil menyeru agar   seluruh ulama di dunia ini bangkit menunaikan solat hajat dan memohon   pertolongan Allah SWT demi menyelamatkan umat Islam dan rakyat Palestin   termasuk di Gaza.
Nik Abdul Aziz juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan  Bangs-Bangsa  Bersatu (PBB) agar memberi teguran keras terhadap rejim  itu.
“Saya menyeru agar OIC dan negara Islam turut menyertai bantahan ini   bagi membuktikan kesungguhan membela nasib rakyat Palestin,” ujar   beliau.

 

 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
