Ikuti Blog ini

Lebih 50 Tahun R/M'sia Berfikiran Perkauman -Dr Mujahid


KL : Penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP), dan kemudiaannya dinaik taraf sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), bukan sekadar meraih sokongan politik semata-mata, kata Dr. Mujahid Yusof.

Menurut beliau yang juga pengerusi lembaga penasihat DHPP, penubuhan itu bagi membuktikan PAS benar-benar mengamalkan perinsip Islam iaitu menolak perkauman.

"Kita tubuhkan ini bukan untuk meraih sokongan politik, ianya sesuai dengan ideologi PAS itu sendiri sebagai sebuah parti Islam, bukan parti perkauman, melangkaui rasis.

"Kita juga mahu tunjukkan PAS bukan hanya retorik dan bercakap sahaja, tapi kita buat," katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh sebuah tv web, Popteevee dalam rancangan "The Fairly Current Show". Menurutnya lagi, rakyat Malaysia sudah lebih 50 tahun ditanam dengan pemikiran perkauman.

Maka menurutnya, sudah sampai masanya untuk PAS mengambil tanggungjawab melakukan perubahan memecahkan kubu perkauman tersebut. "Pada tahun 2007, saya pergi ke setiap negeri setiap malam untuk menubuhkan Kelab Penyokong PAS," katanya menceritakan kembali sejarah awal penubuhan KPP.

Temubual penuh beliau dalam rancangan itu boleh dilihat melalui pautan http://popteevee.popfolio.my/default.aspx?c=1

Penyertaan bukan Melayu dalam PAS sejak sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008 lalu dilihat banyak memberi perubahan kepada landskap politik parti itu dan juga landskap politik negara. Tsunami politik pada PRU-12 lalu juga dilihat disumbang faktor sokongan bukan Melayu kepada PAS.

Mei lalu, PAS terus memperkukuhkan kedudukannya apabila mengiktiraf kelab penyokong menjadi DHPP yang kini setaraf dengan Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan Dewan Muslimat.
Sehingga kini mereka mempunyai lebih 20,000 penyokong bukan Melayu dan bukan Islam dalam parti itu. (AK)
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .