Ikuti Blog ini

Darus Syifa mula operasi di Besut

BESUT, 25 Sept: Penduduk daerah ini dan sekitarnya yang berhajat kepada rawatan alternatif, khususnya perubatan Darus Syifa, kini tidak perlu lagi memandu jauh ke daerah lain.

Dengan beroperasinya Pusat Rawatan Darus Syifa Cawangan Besut di Kampung Renek, dekat sini, ia membuka peluang lebih selesa kepada mereka mendapatkan khidmat rawatan untuk berbagai permasalahan yang mereka hadapi.

“Memang tujuan utama operasi Pusat Rawatan Darus Syifa ini ialah untuk memberi peluang kepada semua anggota masyarakat supaya setiap mereka ada jalan merawat penyakit yang dihadapi, walau pun miskin dan tidak berkemampuan,” ujar Pengerusi Persatuan Perubatan Darus Syifa’ Cawangan Besut, Ustaz Omar Sidek.

Menurutnya, rawatan diberikan pihaknya adalah secara sukarela dan para pengunjung tidak perlu risaukan tentang sebarang caj tertentu untuk setiap rawatan. Sebaliknya mereka sekadar digalakkan menghulurkan sumbangan, juga secara sukarela dan ikhlas.

Sebab itu, beliau mempelawa anggota masyarakat yang menghadapi sebarang penyakit, terutama berkaitan dengan gangguan makhluk halus, agar mencuba rawatan yang disediakan pihaknya.

“Di sini kita merawat semua jenis penyakit, kecuali dua, tua dan mati. Selain dua itu insya Allah kita ikhtiar, sama ada rawatan secara fizikal mahu pun kerohanian,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Idulfitri di pusat berkenaan pagi ini.

Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 100 tetamu undangan. Antara mereka ialah Pengerusi Darus Syifa’ Cawangan Kota Bharu, Ustaz Zaki Ya, dan Pengurus Darus Syifa’ Cawangan Jeli, Ustaz Zakaria Abdul Ghani.

Pusat yang terletak di tepi jalan utama menghubungkan Jerteh-Kuala Terengganu ini dibuka pada setiap Sabtu antara jam 9 pagi hingga 12 tengahari. Di situ Omar dibantu lapan perawat diketuai Ustaz Abdul Ghani Md Hassan.

Pasukan perawatnya terdiri daripada Ustaz Mohd Hafizan Alias, Ustaz Mohd Azman Ismail, Ustaz Ibrahim Mohd, Ustaz Zainodin Ismail, Ustaz Usoff Zakaria, Ustaz Omer Abdullah dan Ustaz Azhar.

Perubatan Darus Syifa adalah kaedah rawatan alternatif kepada perubatan moden yang semakin mendapat tempat di dalam masyarakat.

Jaringan khidmatnya ada di hampir seluruh negara dan berpusat di Bangi, Selangor di bawah kendalian dan pengawasan ulama terkenal tanahair, Datuk Dr Haron Din.

Pusat rawatan di Besut ini adalah cawangan ketiga di Terengganu selepas Kuala Ibai (Kuala Terengganu) dan Permaisuri (Setiu). Sejak mula beroperasi pada 26 Jun lalu, pusat itu menerima kunjungan antara 15 hingga 20 pesakit setiap minggu yang kebanyakannya sekitar daerah ini.

Selain itu, menurut Omar, pihaknya juga kerap turun ke lokasi tertentu atas permintaan anggota masyarakat.

“Ada kes-kes besar, umpamanya pesakit tak boleh di bawa mari (ke pusat rawatan), kita keluar ke tempat dia. Atau pun kes macam orang nak naik rumah baru, nak ‘pagar’ rumah, nak ‘bersihkan’ tapak kilang, misalnya, insya Allah dalam kes-kes macam tu kita turun ikhtiar di lokasi berkenaan,” jelasnya lagi.

Anggota masyarakat yang berminat mendapatkan khidmat pusat itu boleh menghubunginya (012-9880355) atau Ustaz Mohd Hafizan (017-9429527). -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .