Ikuti Blog ini

Eye On Malaysia: Projek Ali Rustam Yang Terbengkalai

Melaka - Kerajaan Negeri digesa supaya bertegas dengan syarikat pemilik Eye On Malaysia bagi mempercepatkan rundingan mengeluarkan buaian roda gergasi itu yang terbiar sejak tujuh bulan lalu.

Pandangan itu diutarakan orang ramai yang berpendapat, buaian roda gergasi itu kini bukan sahaja menjejaskan sektor pelancongan negeri, malah menyakitkan mata memandang apabila melihat persekitarannya yang tidak dijaga rapi.

Tinjauan Sinar Harian ini ke lokasi berkenaan yang terletak bersebelahan tapak projek Marina Melaka, di muara Sungai Melaka semalam mendapati ada kebenarannya.

Kawasan yang dahulunya dijaga rapi dengan landskap yang indah kini kelihatan seperti tapak pembinaan apabila sisa sampah dan kayu bertaburan di merata-rata.

Khemah niaga yang dahulunya tersergam indah kini semakin mereput sehingga hampir menyembah bumi.

Pemandangan landskap yang begitu indah sebelum ini kini ditumbuhi pokok-pokok liar di celah-celah longkang sehingga menyakitkan mata memandang.

Mohd Helmi Hassan, 27, berkata, kewujudan Eye On Malaysia kini boleh diibaratkan sebagai projek gajah putih yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada penduduk dan pengunjung di negeri ini.

“Saya harap, Kerajaan Negeri dapat bertegas dengan pemilik buaian roda gergasi supaya mereka segera memindahkannya kerana lebih lama ia dibiarkan, semakin ia menyakitkan mata.

“Semakin lama tempat ini terbiar, semakin ia mencemarkan produk pelancongan negeri sedangkan tapak itu mungkin boleh digantikan dengan produk-produk lain,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali Tan, 42, berkata, dia menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk memindahkan Eye On Malaysia dan menggantikannya dengan buaian roda gergasi lebih besar dengan ketinggian 82 meter serta mempunyai 58 gondola.

Namun apa yang mengecewakannya, sehingga kini, masih tidak menampakkan apa-apa perkembangan positif sebaliknya tapak Eye On Malaysia terus terbiar tanpa penjagaan.

“Saya tengok, tapak Eye On Malaysia ini sangat strategik kerana terletak berhampiran dengan pesisir laut dan sabah hari ramai pendudukdan pengunjung datang ke sini.

“Saya yakin, buaian roda gergasi yang baru nanti akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan hasil pembangunan itu tentu akan membuatkan kawasan sekitarnya membangun dengan sendirinya,” katanya. -SH


Eye on M'sia: Belajar dari kesilapan, kata PAS

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Rustam diingatkan supaya belajar dari kesilapan dahulu sebelum meneruskan cadangannya untuk membeli sebuah roda gergasi baru dari Cina yang berharga RM7 juta.

Ketua Penerangan PAS Bukit Katil Melaka, Yusof Wahab berkata kerajaan negeri sepatutnya belajar dari kesilapan dahulu di mana Eye On Malaysia yang dibawa dari Kuala Lumpur akhirnya terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan.

"Sudahlah ia membazirkan duit rakyat jutaan ringgit, kini Eye On Malaysia yang menjadi lambang kegagalan kerajaan negeri tambah menyakitkan mata rakyat Melaka. Apakah kerajaan Malaysia mahu mengulangi kesilapan lalu dengan membeli sebuah lagi Eye On baru?

"Eye on Malaysia yang terletak bersebelahan tapak projek Marina Melaka, di muara Sungai Melaka hari ini benar-benar berserabut dan mencacatkan pemandangan di kawasan tersebut. Ia kini bagaikan tapak pembinaan usang dengan sisa sampah dan kayu bertaburan di sana sini." kata Yusof dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya membelanjakan wang jutaan ringgit berkenaan bagi program-program yang memberikan manfaat kepada rakyat seperti program mengatasi masalah banjir; program meningkatkan kesedaran Islam di kalangan rakyat; program pendidikan dan sebagainya.

Menyakitkan mata

Beliau juga kesal dengan sikap lepas tangan kerajaan negeri yang membiarkan kawasan Eye On Malaysia menjadi tidak terurus dan menyakitkan mata.

Semalam media melaporkan bahawa khemah peniaga yang di kawasan tersebut semakin mereput sehingga menunggu masa sahaja untuk menyembah bumi. Pokok-pokok tumbuh meliar di celah-celah longkang di sana-sini.

Yusof juga berkata Eye On Malaysia yang sejak dari mula lagi didakwa akan menjadi gajah putih benar-benar memahatkan rasa sakit dan pedih di hati rakyat kerana bukan sahaja duit rakyat hangus begitu sahaja malah kini menjadi 'biawak hidup' yang membebankan mata rakyat untuk melihatnya.

Pada 8 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan syarikat Belgium, Fitraco NV, yang membekalkan buaian gergasi 'Eye On Malaysia', memasuki satu kawasan di Melaka dan memindah keluar buaian itu.

Hadapi pelbagai masalah

Pada 15 Sept, 2009, Fitraco NV, sebagai pemilik asal buaian gergasi itu, memfailkan saman terhadap EOM dan MST Ad Suria Sdn Bhd selepas syarikat terbabit gagal melunaskan tunggakan hutang RM17 juta bagi menyewa dan membawa buaian berkenaan ke Malaysia pada 2006.

MST adalah syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk roda Eye On Malaysia pada 2006 sebagai sebahagian daripada tarikan utama sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia pada 2007.

Roda itu telah dipindahkan dari Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur ke muara Sungai Melaka pada September 2008 dan beroperasi secara rasmi sebulan selepas itu.

Roda gergasi yang bertujuan untuk menarik perlancong ke negeri Melaka itu telah disita pada 7 Jan lalu dan operasinya terpaksa diberhentikan serta-merta. -mk
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .