Ikuti Blog ini

Pemuda PAS cabar Najib ambil tindakan terhadap Soi Lek

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan tegas terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek ekoran keceluparannya berhubung isu hak keistimewaan orang Melayu.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Soi Lek memberi pengakuan akan mengundi KEADILAN jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu seperti yang tercatat dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

“Mungkin MCA sudah tiada idea lain yang lebih bernas untuk menarik sokongan masyarakat Cina ekoran kekalahan rakan sekutunya SUPP di Sarawak, maka Soi Lek memberi pengakuan akan mengundi KEADILAN jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia.

“Mengekalkan Hak istimewa orang Melayu yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia telah menjadi persetujuan bersama dalam Pakatan Rakyat(PR) semasa konvensyen di Shah Alam pada 2009. Tidak mungkin disebabkan seorang tokoh kontroversi, Soi Lek maka PR akan berubah sikap,” kata Suhaizan dalam kenyataannya hari ini.

Dalam pada itu, beliau melahirkan kebimbangan permainan politik Soi Lek mengenai Hak istimewa orang Melayu yang berupaya mencetuskan pergeseran dan salah faham antara kaum di negara ini.

“Ada banyak perkara lain yang boleh menarik perhatian masyarakat bukan Melayu untuk mengundi MCA selain sentimen perkauman. Tetapi Soi Lek sengaja mencari populariti membangkitkan isu yang sensitif bagi menarik perhatian masyarakat Cina khususnya untuk menyokong MCA.

“Betapa murahnya harga perjuangan politik Soi Lek sehingga sanggup menjolok sarang tabuan demi mendapat secupak keuntungan politik. Keceluparan Soi Lek ini juga melambangkan kegagalan Umno mengawalnya,” ujarnya.

Sementara itu, beliau mengingatkan Soi Lek sebagai pemimpin senior dalam komponen Barisan Nasional (BN) sewajarnya mendidik masyarakat memahami mengapa hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia.

“Hak Istimewa orang Melayu bukan menjadi halangan orang bukan Melayu untuk hidup selesa di negara ini. Hak Istimewa orang Melayu di lihat tempang kerana penghianatan Umno yang berlindung di balik dasar ini untuk mengumpul kekayaan kroni-kroni mereka.

“Bermaksud jika tiada penghianatan Umno dan negara diurus dengan adil dan saksama maka hak istimewa orang Melayu tidak menjadi perkara yang dipertikai. Tanpa penghianatan Umno, orang Melayu sudah lama maju di negara ini.

“Jika orang Melayu sudah maju dan kedudukan ekonominya sudah seimbang dengan kaum-kaum lain maka saya percaya orang Melayu sudah tidak perlukan lagi tongkat hak istimewa orang Melayu lagi,” katanya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .