SHAH ALAM, 30 April:  Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahaya mengingatkan  seluruh rakyat Malaysia jangan terus menjadi seperti pokka yang asyik  mengangguk sahaja kerjanya sepanjang hayat.
Datuk Hashim (gambar)  berkata, rakyat negara ini mesti berani menggunakan kuasa mereka untuk  membuat perubahan setelah lebih 50 tahun mengiyakan apa sahaja dilakukan  oleh kerajaan.
"Jika rakyat negara lain seperti Tunisia menjadi  pokka (sejenis haiwan yang suka menganggukkan kepala) lebih 30 tahun,  Mesir juga lebih 30 tahun, rakyat Malaysia pula menjadi pokka lebih dari  50 tahun," kata beliau serius dalam seloroh.
Untuk makluman,  binatang pokka atau sesumpah mirip mengkarung yang kerjanya hanya  mengangguk sahaja tanpa sekali pun mengingkari perbuatan itu meskipun  berlaku apa sahaja di sekelilingnya.
Bekas pensyarah UM dan UIAM  berusia 72 itu berucap demikian ketika bercakap dalam Bicara Buku Prof  Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradhawy di Masjid Negeri, dekat sini, tengah hari  tadi.
Turut serta adalah Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul  Hamid, Jurnalis dan Editor Majalah Sabili Indonesia, Herry Nurdi dengan  moderator oleh Ustaz Nazmi Karim.
Slot Bicara Buku anjuran Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) sempena mesyuarat agung pertama hari ini.
Dalam  pada itu, Datuk Hashim kesal dengan tulisan Ulama Muda UMNO dalam  sebuah akhbar harian yang dengan mudah menyimpulkan rakyat tidak  mentaati kerajaan sekarang ini boleh dibunuh.
"Rakyat hanya wajib  mentaati kerajaan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya," tegasnya sambil  menghuraikan dengan lebih lanjut tentang duduk perkara sebenar.
Menurutnya,  mereka yang membaca tulisan seumpama itu hendaklah berhati-hati jangan  mudah terpengaruh dengan huraian yang jauh menyimpang dari kehendak dan  pengajaran agama.
Sementara itu, ketika membahaskan isi kandungan  buku Syeikh Yusuf, Datuk Hashim berkata, terdapat satu pengajaran besar  yang terdapat di dalam buku itu.
"Setiap orang yang dilahirkan  sebagai Muslim adalah seorang ahli politik yang boleh menggunakan kuasa  mereka untuk menentukan siapa yang layak memerintah negara ini.
"Rakyat  Malaysia sudah memberikan masa kepada kerajaan yang ada ini melebihi  lima puluh tahun dan kini sampai masanya untuk mereka menggunakan kuasa  ini memilih parti yang berhasrat mengangkat perjuangan kebenaran,"  tegasnya sambil menunjukkan isyarat mengundi.
Ketika berucap  merasmikan Mesyuarat Agung pertama Salimah selepas itu, Datuk Hashim  berkata, penubuhan NGO Islam ini tepat pada masanya kerana berlaku  berbagai masalah dalam negara ketika ini.
Menurutnya, perjuangan  untuk merubah keadaan ke arah penegakan kebenaran akan memakan masa,  perlukan pengorbanan dan bersedia dengan cabaran menyentuh perasaan.
Turut berada di pentas adalah Penasihat-penasihat Salimah, Cikgu Azmi dan Mohideen Abdul Kader. -Hrkh
 

 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
