Ikuti Blog ini

Isu Kristian: Husam Bidas Najib Sebagai Talam Dua Muka

Petaling Jaya: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Datuk Husam Musa menyifatkan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani isu ‘konspirasi Kristian’ hanya memakan dirinya sendiri.

Husam berkata Najib sebelum ini ‘merestui’ agenda Utusan Malaysia memainkan sentimen ‘bimbang’ (fear psychology) hanya untuk memastikan supaya orang Melayu kekal menyokong Umno-Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang sama seperti isu ‘tengkolok bersalib’ yang dikenakan Tengku Razaleigh Hamzah menjelang pilihan raya umum tahun 1986.

“Namun apabila agenda ini bergerak memakan tuan dan langkah Utusan Malaysia ditolak oleh majoriti rakyat, Najib tiba-tba berubah mengambil watak bersikap lebih sederhana dan pertengahan,” kata exco kanan kerajaan negeri Kelantan itu.

Malah Najib kelmarin mengeluarkan kenyataannya bahawa teori menukar kedudukan Islam dalam perlembagaan negara adalah tidak nwujud dan menyeru ‘semua pihak membendung perasaan emosi untuk tidak membuat perkara yang boleh mengganggu-gugat keamanan, keharmonian serta kesejahteraan negara’.

“Persoalannya, jika Perdana Menteri sedar gerakan ini membahayakan negara kenapa Utusan Malaysia bebas menjadi ‘anak nakal’ yang tidak bertanggungjawab menabur api fitnah sesuka hati?

Dua watak PM

“Ini bermakna, Perdana Menteri selaku presiden Umno sebenarnya merestui agenda Utusan Malaysia. Perdana Menteri bermain dua watak sekaligus dan membawa ‘dua pancing satu umpan’.

“Sikap talam dua muka dengan isu sensitif ini dikuatkan dengan tiada sebarang tindakan tegas diambil ke atas Utusan Malaysia.

“Dengan itu, boleh dipastikan Utusan Malaysia akan terus-menerus menggunakan kad perkauman dan agama menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan Utusan yang bersifat provokatif dan Najib dalam masa yang sama mengambil sikap lepas tangan adalah sama sekali menyalahi ajaran Islam dan berbahaya kepada norma kerukunan masyarakat Malaysia pada keseluruhannya.

“Ini adalah politik Machiavelli pada peringkat yang tertinggi,” katanya.

Surat teguran

Sementara itu, Utusan Malaysia semalam dikenakan surat teguran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung laporan muka
hadapannya ‘Kristian agama rasmi?’ serta laporan yang disiarkan di halaman 5 pada Sabtu lalu.

Selain teguran, surat tersebut juga memanggil pengarang Utusan memberi penjelasan kerana menyiarkan perkara yang didapati bertentangan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

KDN dalam satu kenyataannya berkata surat teguran tersebut telah diserahkan kepada Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Aziz Ishak.

“KDN akan terus memantau setiap akhbar yang dikeluarkan supaya tidak menyebarkan berita-berita yang boleh menggemparkan fikiran orang ramai atau kandungan-kandungan yang bertentangan dengan AMCP 1984,” menurut kenyataan itu lagi.

Laporan berkenaan yang memetik tulisan dalam blog mencetuskan kontroversi apabila mendakwa terdapat konspirasi sekumpulan pendita Kristian yang didakwa berikrar untuk melantik Perdana Menteri daripada penganut agama itu. -FMT
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .