Ikuti Blog ini

Email 1 Malaysia - Kos RM50 Juta, Pengguna Hanya 3000 Orang Sahaja..

Sistem pembayaran dalam talian dan perkhidmatan Myemail – yang membabitkan kos RM50 juta – telah mengumpulkan 3,000 pelanggan sejak dilancarkan pada 14 September lalu, kata penyedia perkhidmatan tersebut – Tricubes Berhad.Dalam taklimat media di Kuala Lumpur hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tricubes, Khairun Zainal Mokhtar berkata, angka itu jauh daripada sasaran 5.4 juta pelanggan yang ditetapkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).

“Kami mensasarkan seramai mungkin pelanggan, dan kami yakin dengan sasaran kami itu walaupun PEMANDU telah menetapkan sasaran 5.4 juta pelanggan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Apabila ditekan lanjut, Khairun berkata, ramalan dalaman telah disemak semula kepada 2 juta pelanggan pada tahun 2012.

Sebelum ini dikenali sebagai perkhidmatan ‘e-mel 1 Malaysia’, Myemail dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 April, dan terus menjadi sasaran kritikan orang ramai.

Terdapat kebimbangan mengenai aspek privasi dan sama ada jumlah wang yang dibelanjakan itu wajar, memandangkan kebanyakan perkhidmatan emel, adalah percuma. Terdapat juga persoalan mengenai status GN3 Tricubes.

Sebelum ini adanya satu gesaan supaya rakyat negara ini tidak mengguna atau melanggan khidmat Emel 1Malaysia kerana ia tidak menjamin keselamatan dan maklumat peribadi diceroboh pihak berkuasa. Sebuah blog menyatakan, rakyat Malaysia perlu menolak perkhidmatan emel berkenaan meski ia diberi secara percuma oleh kerajaan.

“Ia tidak menjamin keselamatan dan hak keperibadian anda. Rakyat mempunyai ruang untuk memilih penggunaan email percuma seperti Yahoo, Hotmail dan Gmail. Kenapa diri anda perlu menanggung risiko yang tinggi akibat penggunaan email 1Malaysia?,” soal penulis blog tersebut, Pian Kia Liao.

Beliau memberi sebab bahawa kemungkinan maklumat menerusi emel yang dihantar akan mudah diakses Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Tricubes Berhad mengaku khidmat e-mel 1 Malaysia yang bakal disediakannya adalah hayat kewangan bagi syarikat itu, yang sebelum ini berhadapan dengan risiko dibatalkan penyenaraian di Bursa Malaysia.

Sasaran Tricubes adalah mendapatkan purata 900,000 pengguna setiap bulan dan mendapatkan semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun menyertainya menjelang tahun 2015.

Perkhidmatan myemail.my dipercayai akan mengancam perkhidmatan Pos Malaysia Berhad yang digunakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

KWSP mempunyai 12.72 juta anggota sehingga 31 Disember 2010 tetapi ahli yang aktif dianggarkan 6.04 juta.

RAKYAT MARHAEN
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .